Sebahagian Taman Tun Fuad Stephens Ditutup Sementara
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

11 Jun 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melanjutkan penutupan sementara sebahagian Taman Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu sehingga 14 Julai depan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan DBKK memaklumkan, ia bagi memberi ruang kepada penyiapan kerja-kerja akhir pembinaan projek Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah yang mengalami kelewatan.
Katanya, projek yang dijadualkan siap pada 21 Mei lalu itu telah diberikan lanjutan masa oleh Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bermula 22 Mei hingga 14 Julai depan.
“Punca kelewatan melibatkan isu teknikal iaitu perubahan reka bentuk dan material. Kemajuan fizikal di tapak pada masa ini telah mencapai 88 peratus siap.
“Kerja yang masih berjalan hanya melibatkan beberapa kawasan seperti Pusat Botani, Pusat Konservasi dan 'Botany Play Park,” katanya.
Menurutnya, KPKT dan DBKK mengambil perhatian keluhan ramai berkaitan pembukaan semula taman ini dan akan memastikan tempoh masa panjang yang diambil untuk menyiapkan projek ini adalah seiring dengan transformasi Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah.
Katanya, taman ini akan bakal dilengkapi dengan prasarana taman yang menarik dan lebih berkualiti tinggi seperti trek joging, komesial plaza, laluan 'Lake Walk' di sepanjang tasik dan jambatan konkrit atau 'Nostalgia Bridge' dengan laluan 'floral walk'.
“Tidak dipinggirkan keperluan rekreasi untuk kanak-kanak melalui pembinaan 'Botany Play Park iaitu taman teroka interaktif kanak-kanak berkonsepkan alam semula jadi.
“Pusat Botani dan Pusat Konservasi Tanaman turut dibina manakal dari aspek landskap, sejumlah 30,000 tumbuhan daripada 500 spesis, termasuk pokok renek, pokok teduhan, palma, orkid telah ditanam di sekitar taman.
“Semua tanaman ini boleh dilihat di zon tanaman seperti Taman Aroid & Orkid, Taman Nadir, Taman Buluh dan Taman Ethnobotany,” katanya.
Menurutnya, projek pembangunan ini akan menukar status Taman Tun Fuad Stephens daripada sebuah taman rekreasi biasa kepada taman botani yang bakal menjadi destinasi pelancongan baharu Sabah.
“KPKT dan DBKK komited untuk memastikan pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah siap sepenuhnya pada tahun ini dengan kualiti yang tinggi dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung,” katanya.
Comments