Sebanyak 15 dari 18 perkara MoU PH dengan PM selesai
29 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata dengan lulusnya pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti, maka 15 dari 18 Perkara atau 83.3 peratus yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara PH dan kerajaan telah dilaksanaan.
Menurut kenyataan itu, ketika ini tiga perkara yang masih perlu dilaksanakan adalah mengehadkan jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun, membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan lebih teratur dan lancar.
“Pada masa yang sama, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa.
“Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuatkuasa selagi Parlimen ke-14 belum dibubarkan, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU,” katanya dalam kenyataan media.
Oleh itu, Majlis Presiden PH mengarahkan wakil-wakil Pakatan Harapan dalam Jawatankuasa Pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat segera bersama wakil-wakil kerajaan bagi membincangkan beberapa perkara dalam MoU yang masih berbaki.
Disamping itu katanya, meneliti perkara-perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amnah) HJ.Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lok Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.
Comments