top of page

SEBANYAK 557 KES BAHARU DI KOTA KINABALU, 889 KES SELURUH SABAH

  • Wartawan Nabalu News
  • Oct 24, 2020
  • 2 min read


24 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News



KOTA KINABALU: Sebanyak 557 kes baharu daripada 889 kes keseluruhan yang dilaporkan di Sabah pada hari ini adalah di Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi yang kebanyakannya disumbangkan daripada Kluster Penjara Kepayan.

“Daripada jumlah ini, 434 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan. Keputusan ujian terhadap banduan lain belum diperolehi sepenuhnya.

Masidi Manjun

“Ini bermakna lebih banyak kes positif daripada Kluster Penjara Kepayan yang akan menyumbang kepada kes baharu di Kota Kinabalu dan Sabah secara keseluruhannya selepas ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 11,285 kes. Sehingga hari ini, seramai 4,908 pesakit dilaporkan sembuh. Manakala 6,287 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah.

Katanya lagi, bilangan kes kematian yang dilaporkan di negeri ini pada hari ini adalah enam orang.

Dari segi pecahan kes baharu mengikut daerah, Masidi berkata, daerah Tawau mencatatkan 80 kes baharu, Kudat (40), Sandakan (33), Papar (30), Tuaran (24), Penampang (24), Semporna (19), Putatan (15), Kota Belud (15), Lahad Datu (12), Ranau (11), Kunak (7), Keningau (7), Kinabatangan (empat kes), Kota Marudu dan Tambunan masing-masing tiga kes, Pitas dan Tenom masing-masing dua kes dan Beaufort satu kes baharu.

Beliau berkata, daerah-darah lain seperti Sipitang, Kuala Penyu, Nabawan, Telupid, Beluran dan Tongod tiada kes.

“Tongod kekal zon hijau dan hari ini tiada penambahan zon merah.

“Bagi daerah Kudat, 33 kes daripada 40 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini adalah dari Kluster Inai iaitu mereka yang menghadiri Majlis Inai di Kudat,” katanya.

Masidi berkata, pada hari ini dua kluster baharu dikenalpasti di Sandakan iaitu Kluster Mega yang mengakibatkan 15 kes positif dan Kluster Mesra sebanyak 22 kes positif.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page