top of page

SEBOC MINTA KERAJAAN BANTU KURANGKAN BEBANAN PENGUSAHA BAS

  • nabalunews
  • Oct 31, 2020
  • 2 min read




31 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Ekspress Sabah (SEBOC) merayu agar kerajaan negeri dapat membantu mengurangkan bebanan ahli persatuan itu yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya Datuk Haji Donald Hanapi berkata, ini kerana kebanyakan ahli peratuan tidak diberikan sebarang kemudahan moratorium dari segi bayaran ansuran bulanan bas.


“Bayaran ansuran bulanan bas dan kaunter-kaunter tiket yang disediakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu dibayar setiap bulan meskipun tidak dibenarkan beroperasi sejak PKP sebelum ini.

“Justeru, bantuan kerajaan amat kami harapkan bak kata pepatah “kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan”,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Donald berkata, arahan PKPB yang masih berkuatkuasa menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Oleh itu kami sebulat suara memohon agar Kerajaan Negeri dapat mengemukakan langkah drastik serta efektif dalam mengurangkan bebanan kami.

“Kami juga memohon supaya kerajaan memberi penjelasan mengenai kebenaran beroperasi kepada bas-bas ekspres di negeri ini dari segi tarikh.

“Ini kerana, kami perlu membuat persiapan yang lebih rapi dari segi proses sanitasi dan penyediaan bahan-bahan keperluan yang perlu bagi mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) sebelum memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata, persatuan itu juga memohon bantuan segera daripada pihak kerajaan khusus untuk para pengusaha bas ekspres yang terjejas sepanjang tempoh PKPB.

“Sebagai makluman rata-rata kami tidak diberikan sebarang kemudahan moratorium dari segi bayaran ansuran bulanan bas yang beroperasi. Justeru, bantuan dari kerajaan amat kami harapkan,” katanya.

Donald berkata, sekiranya tiada bantuan atau solusi yang efektif dalam masa terdekat, persatuan itu memohon agar diberi ruang untuk beroperasi dengan SOP sedia ada yang telah ditetapkan ataupun lebih ketat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras.

“Hal ini kerana, kami perlu membanting tulang bagi memulihkan ekonomi kami yang cukup terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Kami amat berharap agar kerajaan dapat mendengar rintihan serta memahami situasi kami yang amat memerlukan bantuan.

“Kami juga bersedia mengadakan perbincangan bagi mencari langkah penyelesaian yang proaktif dalam menangani bebanan ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page