top of page
Wartawan Nabalu News

Sebuah Malaysia yang liberal, pancabudaya dan ‘Nusantara’ – naratif untuk mematahkan 3R - Madius


24 Julai 2023


Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60 buat kerajaan dan seluruh rakyat Sarawak!


Tidak ramai rakyat Malaysia khususnya dari Semenanjung yang tahu bahawa Sarawak dan Sabah sebenarnya telah mencapai kemerdekaan sebelum membentuk Malaysia dengan bersama-sama Malaya dan Singapura. Dari 22 Julai hingga 15 September 1963 (56 hari), kerajaan British melepaskan kuasa dan Sarawak memerintah secara kendiri di bawah kepimpinan Ketua Menteri pertamanya, Stephen Kalong Ningkan. Dari 31 Ogos hingga 15 September 1963 (16 hari), Sabah di bawah Ketua Menteri Donald Stephens juga turut memerintah kendiri.


Sebelum kita menyambut Hari Malaysia (yang jatuh pada 16 September 1963), adalah penting untuk kita terlebih dahulu perlu menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak (22 Julai 1963), Malaya dan Sabah (masing-masing 31 Ogos 1957 dan 1963).


Walaupun nuansa seperti kurang diberikan penekanan dalam matapelajaran sejarah di sekolah-sekolah, ia tetap penting supaya kita sentiasa ingat dan hargai bahawa pengalaman penjajahan dan proses penyahjajahan (decolonisation) yang kita masing-masing lalui adalah amat berlainan. Kita juga tidak boleh memandang enteng kesan pengalaman ketiga-tiga negara yang berbeza ini ke atas bentuk persekutuan yang ditubuhkan kemudiannya.


Sepertimana Brunei hari ini, kita boleh sahaja wujud sebagai tiga negara yang berlainan. Namun begitu, kita tidak seharusnya memberi galakan sedemikian. Perpaduan yang dikecapi ini hanya boleh dikekalkan jika kita menanam iltizam dan mencurahkan usaha yang sewajarnya.


Jawapan Bernaratif Untuk Politik 3R


Dalam menangani naratif 3R (kaum, agama, raja), banyak pihak lebih cenderung untuk menggubal undang-undang baharu. Saya pula percaya bahawa seboleh-bolehnya, kita harus elakkan mencari penyelesaian perundangan.


Jika sesebuah negara perlu meletakkan kamera CCTV di setiap lampu trafik untuk mencegah pemandu daripada melanggar lampu merah, ia bukan sahaja telah gagal dari segi keselamatan jalan raya, rakyatnya juga gagal memikul tanggungjawab sivik mereka.


Bagi menangani cabaran 3R, apa yang kita sebenarnya perlukan ialah sebuah naratif kenegaraan baharu yang mengiktiraf dan meraikan 3 unsur terpenting Malaysia: warisan Nusantara, pancabudaya (budaya yang rencam) dan sistem politik liberal yang kita warisi daripada British.


Warisan Nusantara


Nusantara, merujuk kepada gugusan pulau dan pesisir di samudera Asia Tenggara, secara pukalnya merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Timor Timur, serta Filipina dan bahagian selatan Thailand, Vietnam dan Kemboja.


(Pemilihan nama ‘Nusantara’ sebagai Ibu Kota Negara Indonesia sebenarnya agak canggung, mirip sebuah negara Asia lain menamakan ibu negaranya sebagai ‘Asia’)


Alam Nusantara ini kebanyakannya didiami masyarakat Melayu-Polinesia yang bertutur bahasa-bahasa Malayik tapi tidak semestinya Melayu. Sebagai kaum bahri (maritim), orang Melayu-Polinesia mempunyai pertalian darah dengan orang asal Taiwan di utara, Madagascar di barat, New Zealand (Maori) di selatan dan Hawaii jauh melangkaui Timur.


Dalam konteks Nusantara, tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayu adalah kaum paling dominan di Malaysia, manakala bahasa Melayu dan agama Islam mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas rantau ini.


Menyedari bahawa Malaysia adalah sebahagian daripada Nusantara yang lebih luas sebenarnya langsung tidak menggugat kedudukan dominan orang Melayu di Malaysia. Malah pengiktirafan kedudukan dominan Melayu dan Islam di Malaysia sebenarnya membolehkannya menjadi lebih inklusif untuk bukan Melayu, temasuklah untuk kaum peribumi Sabah dan Sarawak.


Di Semenanjung, istilah ‘Melayu’ adalah bersifat payung yang merangkumi pelbagai kumpulan etnik seperti Minangkabau, Bugis, Jawa, Acheh, Mandailing dan Banjar. Apa yang menarik, kumpulan-kumpulan ini tidak diiktiraf sebagai ‘Melayu’ di Indonesia.


Apa yang pelih, ramai orang Semenanjung mahu ‘meMelayukan’ Sabah dan Sarawak mengikut acuan Malaya mereka. Ada yang mahu mengIslamkan golongan peribumi bukan Islam, ada pula yang mahu mengasimilasi peribumi beragama Islam agar menjadi ‘Melayu’. Tindakan ini sebenarnya mewujudkan kasta atau tingkatan dalam kalangan bumiputera. Mereka percaya bahawa jika kaum peribumi Sabah dan Sarawak menjadi sekata (homogen), bilangan orang ‘Melayu’ akan meningkat, dan ini seterusnya akan lebih mengukuhkan Malaysia dan mencegah separatisme daripada berlaku.


Sebaliknya, sikap menghina seperti ini hanya akan melemahkan Malaysia kerana kaum peribumi bukan Melayu di Sabah dan Sarawak punya bahasa dan budaya tersendiri dan tidak mahu kehilangan identiti sehingga menjadi Melayu. Saya ada ramai rakan dan sanak-saudara yang merupakan anak jati Dusun dan Muslim yang warak, tapi mereka tidak mahu menjadi Melayu ataupun Arab.


Kaum peribumi Sabah dan Sarawak mahu kekal sebagai bumiputera yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Melayu dan Orang Asli. Kami tidak mahu ada bumiputera kelas pertama, kedua atau ketiga.


Jika diterima umum, identiti Nusantara sebagai sebuah payung kebudayaan yang turut merangkumi orang Melayu juga akan melenyapkan risiko asimilasi yang digeruni tersebut. Malah ia juga tidak akan mengganggu imbangan kuasa antara kaum di Malaysia.


Salah satu tunjang warisan Nusantara di Malaysia ialah Raja-Raja Melayu yang telah sekian lama memayungi seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Saya percaya konsep Nusantara akan terus mengukuhkan Institusi Beraja tanpa sedikitpun mengancamnya.


Penerimaan warisan Nusantara juga akan membetulkan salah tanggap bahawa bahasa Melayu adalah milik eksklusif golongan Melayu dan Muslim. Bahasa Melayu berhak menjadi bahasa bersama bagi seluruh rakyat Malaysia, sepertimana Bahasa Indonesia dijulang oleh rakyat Indonesia.


Di pelantar Nusantara yang lebih luas, Sabah adalah contoh yang unggul kerana bahasa Melayu menjadi pertuturan harian oleh golongan bukan Melayu dan bukan Islam. Bahasanya sudah berevolusi secara organik selama beberapa dekad, diperkaya oleh kata suku tempatan, sehingga diterima oleh seluruh warga Sabah sebagai lingua franca. Bahkan orang Kristian berdoa dalam bahasa Melayu dan kepada Allah! Di seluruh Nusantara kecuali Semenanjung Malaysia, ini bukanlah sesuatu yang mengancam agama dan budaya orang Islam, atau orang Islam itu sendiri.


Kepancabudayaan


Tersemat di atas pelantar samudera, Nusantara sentiasa bersifat kosmopolitan dan termuka kepada penghijrahan sesama serantau atau dari luar rantau ini.


Sebelum wujudnya negara-bangsa, nenek moyang kaum peribumi bergerak secara bebas antaranusa. Perbalahan sentiasa wujud antara ‘adik-beradik’, namun mereka berjaya mencari titik temu untuk hidup secara harmoni. Mujahirin menghormati Ansar, dan Ansar membantu Muhajirin.


Dalam kalangan masyarakat Nusantara juga, adat memberi dan menerima tepak sirih masih menjadi simbol bagi menjalin persabahatan, mengukuhkan persaudaraan dan mendamaikan pertelingkahan.


Walaupun bukan semuanya indah tanpa cacat cela, sekurang-kurangnya nenek moyang kita mengajar agar kita sentiasa halus budi lagi mulia pekertinya, bukan terpalit dengan noda nista atau prasangka. Kalau itu wajib ke atas rakyat biasa, apatah lagi pemimpin kita?


Sebelum penjajah barat tiba di rantau ini, sebagai kaum bahri yang diam di sepanjang laluan perdagangan, orang Nusantara sentiasa terdedah kepada bahasa, agama dan budaya asing. Pedagang dan mubaligh yang memacu perdagangan pula bebas datang dan pergi.


Di Johor, orang Cina dan Jawa dibawa masuk sebagai buruh di ladang-ladang oleh Temenggong Ibrahim dan anaknya Sultan Abu Bakar. Ini berlaku sekian lama sebelum cucunya Sultan Ibrahim menerima naungan British pada tahun 1915.


Di Borneo, Kerajaan Hindu Kutai Martadipura wujud selama 1,236 tahun (399-1635 AD) di Kalimantan, selatan daripada Sabah. Seorang bangsawan China bernama Ong Sum Ping juga pernah berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Hassan (1582-1598).


Dari segi ini, kita patut bakulsampahkan sahaja sudut pandang lapuk penjajah seperti JS Furnival yang mendakwa bahawa Asia Tenggara hanya menjadi pancabudaya akibat penjajah Eropah membawa masuk imigran yang kemudiannya secara berasingan akibat pecah dan perintah.


Kerencaman masyarakat kita juga adalah sesuatu yang harus dirai, bukannya suatu kecelaruan sejarah yang perlu dikeluhi atau diubati dengan asimilasi yang dipaksa-paksa.


Selain itu, terdapat pula idea canggung bahawa Dasar Ekonomi Baru hanya boleh berjaya jika kaum bukan bumiputera yang tidak mahu berasimilasi dianggap tidak bersyukur dan harus diketepikan. Tapi ini bukan caranya. Jika kita mahu DEB lebih diterima oleh kaum bukan bumiputera, hak mereka untuk tidak berasimilasi harus dihormati, sepertimana juga hak kaum peribumi Sabah dan Sarawak.


Ini selari dengan ajaran Islam tentang kepelbagaian budaya, bahawa manusia dicipta sebagai kaum dan puak yang berbeda-beda supaya kita saling mengenali.


Sistem Politik Liberal


Jika kita mahu membentuk semula konsep sebuah Malaysia yang inklusif, cabaran yang paling sukar ialah untuk membebaskan diri daripada belenggu mental penjajahan. Ini memerlukan pengiktirafan jujur tiga perkara utama.


Pertama, sebagai sebuah negara yang merdeka pasca penjajahan, warisan pemerintahan British adalah titik temu yang paling penting antara Malaya dan Borneo.


Kedua, sistem politik liberal yang kita warisi daripada British – yang merangkumi Perlembagaan Persekutuan, sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kebebasan sivil dan politik termasuk bebas beragama, kebebasan kehakiman, undang-undang am, perkhidmatan awam yang profesional dan bebas – adalah teras utama kontrak sosial yang melahirkan dan memelihara Malaysia iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Jika sistem politik liberal ini diabaikan, kita sebenarnya turut menghancurkan tunjang moral kewujudan Malaysia.


(‘Liberal’ di sini bermaksud idea klasikal tentang ‘kerajaan terhad’ dan sikap berhati-hati terhadap ancaman kezaliman majoriti, bukannya liberalisme Amerika yang bergelut dengan perang budaya dan politik identiti. Malah Wawasan 2020 oleh Dr. Mahathir telah meletakkan tonggak kelima sebagai “Mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur.”)


Ketiga, penyahjajahan tidak bermaksud kita kembali kepada sistem politik sebelum zaman kolonialisme tetapi untuk merealisasikan demokrasi. Penjajahan tidak akan berjaya sekiranya setiap warga mendapat hak politik yang saksama, dan kerajaan hanya boleh memerintah sekiranya rakyat memberi mandat.


Sabah dan Sarawak pula mendapat pengalaman yang terbalik. Pemerintahan tunggal oleh sebuah parti telah menyebabkan penjajahan dalaman yang menghakis integriti institusi-institusi liberal mereka.


Jika Malaysia mahu kekal merdeka dan bebas, kita harus jayakan segera penyahpusatan kuasa bagi kesemua 13 negeri agar pemusatan kuasa yang berpotensi untuk mengukuhkan golongan ekstrimis dapat dicegah.


Perang Naratif


Rakyat Malaysia yang cintakan negara yang merdeka serta majmuk kaum, agama dan budayanya seperti yang dijanjikan oleh MA63 harus terus menentang golongan ekstrimis. Golongan ini mahu memundurkan Malaysia sehingga menjadi Tanah Melayu atau Malayan Union di bawah cengkaman kuku besi penjajah, yang bundar dan malar kaum, agama dan budayanya.


Oleh itu, kita harus terus lawan dan menang dalam perang naratif melalui penulisan, penyelidikan, seni, budaya dan apa jua wasilah yang ada. Untuk tujuan tersebut, pembelajaran sejarah di sekolah dan ruang umum harus diperkasa agar rakyat lebih cakna soal-soal kenegaraan yang kritikal seperti ini.


Bagi rakyat Borneo pula, mereka patut lebih berwaspada terhadap pemimpin sendiri yang walak buta dan bersekongkol dengan penjajah Malaya dan skim penjajahan mereka. Mereka sebenarnya lebih berbahaya daripada penjajah Malaya.


Sebab itulah saya langsung tidak terkejut apabila mantan Ketua Menteri Harris Salleh meremehkan perjuangan saya untuk menentang penjajahan dan kediktatoran Malaya oleh Dr. Mahathir, Hadi Awang dan Sanusi. Politiknya yang menunggang agama mungkin mendapat sokongan Kuala Lumpur (sekarang Putrajaya), namun akhirnya ditolak oleh rakyat Sabah sehingga beliau tersungkur dari tampuk kuasa pada tahun 1995.


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau,

Pengerusi Eksekutif WISDOM Foundation

Ahli Parlimen Tuaran Sabah

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)


Comments


bottom of page