Sehingga kini tiada tanda undi percaya PM akan diadakan: AnwarSehingga kini tiada tanda undi percaya PM akan diadakan: Anwar
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Sehingga kini tiada tanda undi percaya PM akan diadakan: Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim

4 September 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini tiada tanda usul undi percaya akan diadakan.


Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua parti pembangkang dan kerajaan sebelum ini, semua bersetuju bahawa Perdana Menteri yang baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.


Bagaimanapun Anwar mendakwa, Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berbisik kepadanya bahawa tidak perlu mengemukakan usul undi percaya dalam sidang Parlimen bulan ini.


“Dalam pertemuan Yang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua parti, Agong dengan jelas menyebut mesti melalui proses undi percaya. Agong menambah, undi percaya harus menjadi perkara utama sebelum pembukaan perasmian.


“Tetapi sampai hari ini, tidak ada petanda akan diadakan undi percaya, malah sejurus selepas pertemuan (baru-baru ini), Saudara Ismail Sabri bisik kepada saya … dia kata mungkin tak perlu (undi percaya). Saya jawab bukan soal perlu atau tak perlu, ini soal keperluan untuk meneruskan keabsahan kerajaan dan ini dititah oleh Tuanku dan dipersetujui semua ketua-ketua parti," katanya.


Beliau berkata demikian dalam webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO Malaysia, pada malam Jumaat.


Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.


Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, sehari sebelum kabinet baharu dibentuk, beliau bersama Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu telah berjumpa dengan Perdana Menteri.


“Kita suarakan bahawa kerjasama ini mungkin tertakluk kepada beberapa perkara dasar dan dia (Ismail Sabri) bagi bayangan tidak boleh buat apa-apa terpaksa kekalkan yang lama.


“Ini seolah-olah menunjukan dia duduk situ atas percaturan politk beberapa orang termasuk mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.


Beliau mendakwa, orang lama yang terbukti gagal melaksanakan tugas sebagai menteri kemudiannya dilantik dan pelantikan penasihati-penasihat yang tidak menunjukkan kemahiran, ketrampilan dan kecekapan dalam bidang berkenaan menunjukkan sistem itu hanya untuk mengekalkan kuasa dan tidak peduli rakyat.


Webinar itu turut disertai para pemimpin dan ahli-ahli UPKO, DAP dan PKR termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page