top of page

Sekatan sementara Grok: Kerajaan tunggu maklum balas X

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 2 min read

22 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi memaklumkan sekatan terhadap akses chatbox kecerdasan buatan (AI) Grok di platform media sosial X bersifat sementara di negara seperti dilakukan Indonesia dan Filipina.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kerajaan kini menunggu maklum balas rasmi daripada pihak X berhubung isu penyalahgunaan Grok berulang kali yang didakwa digunakan bagi penghasilan kandungan lucah dan bersifat seksual secara eksplisit.


Menurutnya, kerajaan akan menarik semula sekatan sementara dikenakan sekiranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat menerima penjelasan yang dikemukakan.


“Dalam isu X dan Grok ini, ia agak unik memandangkan X adalah media sosial, manakala Grok pula aplikasi AI dalam platform yang sama, yang turut mempunyai akaun @Grok.


"Di sini kita berdepan keadaan agak hibrid dan dalam beberapa aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, telah dimuat masuk oleh pihak Meta ada fungsi AI juga dalam aplikasi tersebut.


"Ini adalah ruang yang agak hibrid di mana pihak kementerian khususnya MCMC meneliti untuk memastikan dari segi aspek kawal selia, isu-isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih menyeluruh," katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan akan mewajibkan audit keselamatan dan penilaian risiko untuk model AI yang boleh diakses, selain adakah sekatan terhadap Grok bersifat kekal.


Jelas Fahmi, platform X buat masa ini tidak tertakluk kepada keperluan pelesenan kerana jumlah penggunanya di negara ini masih belum mencecah lapan juta.


Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang meneliti had ambang berkenaan.


“Memandangkan insiden yang agak besar telah berlaku, maka kita akan melihat semula had ambang tersebut kerana kemudaratan dalam talian tidak bererti tidak berlaku walaupun jumlah pengguna kurang daripada lapan juta,” ujarnya.


Dalam pada itu, menurut Fahmi, sehingga kini MCMC merekodkan 17 aduan atau laporan berkaitan aplikasi Grok.


Katanya, ia melibatkan enam aduan rasmi, dua laporan polis yang dikongsi pengadu, lapan aduan melalui penandaan media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka oleh MCMC.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page