SEKTOR PELANCONGAN TERJEJAS TERUK BERIKUTAN PENINGKATAN KES COVID-19
- nabalunews
- Oct 12, 2020
- 1 min read
Updated: Feb 3, 2021

12 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan sekali lagi menerima tamparan apabila operasinya ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.
Pengusaha Pelancongan Tempatan Norita Yapi berkata, sektor pelancongan tempatan baru sahaja memberikan sedikit kemajuan apabila ramai pelancong tempatan datang berkunjung khususnya pada hujung minggu.
"Bagaimanapun, sekali lagi COVID-19 menular dengan mendadak. Dilema politik dan tuntutan tanggungjawab sebagai rakyat biasa.
"Kesannya balik kepada rakyat, balik kepada pengusaha pelancongan. Semua operasi terpaksa dihentikan lagi. Pergerakan terhad dan dalam masa yang sama, pekerja di lapangan juga dalam keadaan yang was-was," katanya.
Beliau berkata, pengusaha pelancongan pada ketika ini hanya mampu bersabar memandangkan hala tuju seakan semakin pudar. Sektor berkenaan tidak dapat diramalkan bila akan pulih semula.
"Kita hanya mampu mengharapkan agar kerajaan dapat meneliti pendekatan dan menawarkan lebih banyak bantuan kepada sektor ini.
"Lebihkan kepada suntikan dana untuk kami menyusun langkah strategik agar dapat bertahan dan bermula kembali," katanya.
Katanya, sejak awal tahun 2020 sehinggalah kini, norma kehidupan secara tidak langsung berubah kepada '360 darjah'.
"Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Itulah perumpamaan yang dapat saya kaitkan dengan sektor pelancongan sekarang ini.
"Tidak pernah terfikir yang sektor pelancongan jatuh mendadak. Ramai yang hilang mata pencarian. Kehilangan pekerjaan yang pernah dibangga-banggakan selama ini. Keperitan demi keperitan yang tidak terluahkan dengan kata-kata.
"Belanja seharian, makan minum, sewa rumah dan tidak sedikit yang balik ke kampung mengusahakan tanah warisan demi sesuap nasi," katanya.
Oleh Yap Siong Han/ Utusan Borneo















Comments