top of page

Sektor swasta perlu bersama kerajaan percepatkan kejayaan ekonomi, pelaburan negara – PM

nabalunews


25 Julai 2024


KUALA LUMPUR: Sektor swasta digalakkan bekerja sebagai satu pasukan dengan kerajaan dalam memainkan peranan aktif bagi membantu mempercepatkan kejayaan negara dalam aspek ekonomi dan pelaburan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun Malaysia pernah kehilangan ‘masa’ sebelum ini, namun negara mempunyai keupayaan dan sumber, dalam meletakkan ekonomi negara pada landasan sebenar.


“Saya benar-benar meminta sokongan berterusan dari pihak swasta dan kerjasama sebagai satu pasukan untuk menjadikan Malaysia negara berjaya di dunia.


“Saya fikir beberapa siri perbincangan dan dialog di antara kementerian dan sektor swasta pastinya membantu dalam memastikan kita berjaya,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-62, hari ini.


Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada NCCIM bagi menghargai sumbangan organisasi itu dalam menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.


Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Presiden NCCIM, Tan Sri Soh Thian Lai.


Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, semua pihak tidak boleh leka dengan kestabilan politik yang wujud pada ketika ini.


Sebaliknya beliau berkata, kestabilan itu perlu digunakan untuk perubahan antaranya reformasi institusi termasuk melaksanakan dasar tidak popular yang mana ia penting untuk memastikan kejayaan negara.


“Dasar yang tidak popular itu termasuklah (penyelarasan) tarif elektrik dan rasionalisasi (subsidi diesel), tetapi ia perlu dilakukan.


“Rasionalisasi itu baik untuk ekonomi namun sukar dari aspek politik, tetapi untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan yang menyebabkan kehilangan berbilion ringgit kita perlu lakukannya,” katanya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page