Seludup Minyak Petrol, Warga Filipina ditahan
6 Disember 2024
KUDAT : Cubaan menyeludup keluar 25 tong minyak petrol yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 ke Filipina,berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, di perairan Timur Laut Telukan Paitan, Pitas
semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, satu operasi khas telah dilakukan di sekitar perairan Pulau Mandi Darah bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di kawasan perairan Kudat.
"Bertindak atas maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak ke lokasi sekitar 1.6 batu nautika Timur Laut Telukan Paitan, Pitas bagi mengesan aktiviti terbabit.
"Setibanya di lokasi itu kira-kira jam
4.30 pagi, bot ronda Maritim Malaysia
telah berjaya mengesan satu pergerakan sebuah bot dalam keadaan bergelap.
"Semasa cuba dihampiri, dua individu yang mengendalikan bot terbabit
bertindak terjun ke laut dan cuba untuk meloloskan diri di kawasan paya
bakau berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya seorang daripada suspek berjaya diberkas, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.
Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia membawa muatan sejumlah 25 tong biru berisi minyak petrol dengan isipadu dianggarkan 5,000 liter yang
dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati, suspek yang ditahan adalah seorang lelaki warga Filipina berusia 28 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Hasbullah berkata bot bersama suspek serta barang rampasan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin bot dianggarkan lebih RM25, 000.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang maklumat berkenaan salah laku dan kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Comentarios