Semak dan imbang perlu diperkasakan untuk pelaksanaan belanjawan - EwonSemak dan imbang perlu diperkasakan untuk pelaksanaan belanjawan - Ewon
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Semak dan imbang perlu diperkasakan untuk pelaksanaan belanjawan - Ewon



12 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ‘semak dan imbang’ perlu diperkasakan bagi memastikan pelaksanaan belanjawan Sabah 2022 mencapai sasaran.


Beliau berkata ‘semak dan imbang’ boleh diperkasakan melalui pengwujudan satu Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap kementerian.


“Ini kerana sinergi, koordinasi dan jawatankuasa bersama antara kementerian-kementerian sahaja tidak mencukupi … perlu platform ‘semak dan imbang’ yang agresif,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Webinar “Semakan Belanjawan 2022, Masa Hadapan Untuk Sabah, anjuran Kinabalu Reform And Research Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL), semalam.


Selain Ewon, ahli panel lain yang terlibat dalam perbincangan itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah.


Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, dasar dan program-program kerajaan boleh diperkasakan melalui pengurusan data, pengurusan polisi, pengurusan program dan pengurusan pemantauan semak dan imbang melalui Jawatankuasa Khas DUN.

“Pengurusan Data ini penting kerana berdasarkan pengalaman saya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum ini, tiada data mengenai isu-isu luar bandar seperti air, jalan raya, telekomunikasi dan elektrik di kementerian itu.


“Sebab itu saya perkenalkan Sistem Profail Kampung. Data-data yang diperolehi daripada peringkat akar umbi akan dimasukkan dalam sistem itu untuk memudahkan kerajaan membuat polisi bagi membangunkan kawasan kampung berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, dari segi pengurusan polisi pula, berdasarkan data dalam Sistem Profail Kampung, kerajaan boleh melaksanakan dasar-dasar baharu yang bersesuaian. Contohnya program baharu pembasmian kemiskinan.


“Manakala bagi pengurusan program pula, program-program yang sama di beberapa kementerian boleh diselaraskan melalui Jawatankuasa Bersama. Ini penting untuk mengurangkan pertindihan program yang serupa di setiap kementerian berkenaan.


“Kita dapati beberapa kementerian melaksanakan program yang sama. Misalnya Program Keusahawanan ada di bawah Kementerian Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat, pada masa yang sama KPLB juga ada Program Keusahawanan Desa, Kementerian Perindustrian dan Kementerian Belia pun ada program keusahawanan.


“Kita ingin melihat satu pembaharuan tadbir urus, bagaimana program yang sama di setiap kementerian dapat diselaraskan. Kalau tidak ada keselarasan, maka berlaku isu terlepas pandang masalah rakyat,” katanya.


Ewon berkata, pengurusan pemantauan juga perlu semak dan imbang melalui Jawatankuasa Khas DUN bagi memastikan belanjawan benar-benar mencapai sasaran dan rakyat menerima manfaat.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page