top of page

Semangat Kerjasama Jadi Teras Program Buka Tagal Kampung Bayayat

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


29 Mac 2026


KOTA BELUD: Program Buka Tagal Kampung Bayayat di Sungai Kadamaian semalam berlangsung dengan lancar dan disertai lebih kurang 300 penduduk serta peserta dari sekitar kawasan tersebut.


Majlis yang diadakan secara rasmi itu dirasmikan oleh Pengerusi Tagal Kampung Bayayat, Wilson Paulus, yang juga bertindak selaku perasmi program. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Laizen Galintok, serta barisan jawatankuasa tagal dan penduduk setempat.


Dalam ucapannya, Wilson mengalu-alukan kehadiran penduduk yang hadir bagi menyertai aktiviti penuaian ikan secara kolektif itu. Beliau menekankan aspek keselamatan sepanjang proses penuaian, mengingatkan semua peserta agar sentiasa berhati-hati ketika berada di dalam air demi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau turut menyeru agar setiap individu tidak mementingkan diri sendiri dalam usaha menangkap ikan, sebaliknya mengutamakan pengumpulan secara berkelompok dengan memasukkan hasil tangkapan ke dalam pot pengumpulan yang telah disediakan. Menurutnya, kaedah tersebut memastikan pengagihan hasil dapat dilakukan secara adil dan sistematik, sekali gus mengeratkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.


Selain itu, Wilson memaklumkan bahawa Jawatankuasa Tagal telah giat melaksanakan usaha menambah baik kelengkapan serta pentadbiran tagal sepanjang tempoh tutupan sebelum ini. Inisiatif tersebut antara lain meliputi peningkatan sistem pemantauan, penyelenggaraan struktur pengumpulan ikan, serta pengemaskinian data ahli dan peraturan tagal bagi memastikan pengurusan sumber sungai lebih lestari.

Program Buka Tagal yang menjadi acara tahunan penduduk Kampung Bayayat itu bukan sahaja bertujuan mendapatkan hasil sungai, malah turut menjadi platform memperkukuh semangat komuniti dalam memelihara dan menguruskan sumber alam secara bertanggungjawab.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page