top of page

Sembilan Acara Utama Hiasi Karnival Kita MADANI Sabah 2025 di Tuaran

  • nabalunews
  • 27 minutes ago
  • 2 min read

ree

20 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Sembilan acara utama menanti orang ramai sempena Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Sabah 2025 bermula dari 21 hingga 23 Ogos ini di Padang Istiadat, Tuaran.


Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah, Mujahid Halpi berkata karnival itu bertujuan memperkukuh semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain menjadi medium penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani.


“Antara acara utama ialah Digital Race Merdeka @ Kelab Malaysiaku, Sukan Aktif @ Madani, Jualan FAMA @ Agro Madani, pertandingan Bintang Patriotik @ Madani, reruai perkhidmatan agensi kerajaan, Fan Art @ Madani, serta Jualan Rahmah dan banyak lagi.


“Selain itu, turut diadakan ialah Program Ukhuwah Madani yang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya pada 21 Ogos ini,” katanya kepada media selepas temu bual bersama Radio UMSfm di Universiti Malaysia Sabah, pada Selasa.


Menurutnya, pertandingan Bintang Patriotik @ Madani akan menyaksikan 30 peserta terawal berentap dalam nyanyian lagu patriotik dengan tiga terbaik dipilih ke pentas akhir.


Selain hiburan, orang ramai juga berpeluang mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan menerusi Jualan Rahmah pada 23 Ogos, 22 Ogos Jualan Agro@Madani yang dibawakan oleh FAMA serta mengunjungi reruai agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara terus.


“Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur atau latar belakang. Tiada bayaran dikenakan dan orang ramai hanya perlu hadir ke lokasi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan,” jelasnya.


Mujahid berkata bagi acara tertentu seperti Bintang Patriotik, pendaftaran boleh dibuat di lokasi atau melalui pautan yang dikongsi di media sosial rasmi JAPEN Sabah.


Beliau berharap penganjuran Karnival Kita MADANI 2025 dapat melahirkan masyarakat bersatu padu serta menyemai nilai toleransi, saling menghormati dan kerjasama antara rakyat.


Maklumat lanjut mengenai jadual acara dan pengumuman terkini boleh diperoleh menerusi laman sosial rasmi JAPEN Sabah termasuk Facebook dan Instagram.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page