Sembilan Calon STPM Terjejas Banjir Dibawa Keluar
- nabalunews
- 1 minute ago
- 2 min read

22 Februari 2026
PAITAN: Sembilan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah ini berjaya dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Semua pelajar terbabit dibawa keluar dari kampung masing-masing untuk kembali ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu.
Difahamkan, semua pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan STPM pada Isnin dan perlu kembali ke sekolah pada Ahad bagi memastikan mereka tidak terlepas menduduki peperiksaan berkenaan.

Operasi yang diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Bakrin Samsudin bertindak pantas membantu mengeluarkan pelajar terbabit dari kawasan banjir menggunakan kaedah pemindahan yang selamat dan terkawal.
Ia bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang risiko keselamatan dengan menggunakan kenderaan jabatan.
Tindakan itu dilaksanakan hasil makluman guru Tingkatan Enam SMK Salaping, Kota Marudu yang meminta kerjasama APM bagi membantu pelajar sekolah berkenaan yang terjejas akibat banjir untuk kembali ke sekolah bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan esok.

Menerusi kenyataan dikeluarkan APM Paitan, operasi itu berjalan lancar hasil kerjasama anggota bertugas yang mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan dijalankan.
Katanya, bantuan itu memberi impak besar kepada pelajar kerana ia memastikan mereka tidak tercicir daripada sesi pembelajaran serta persediaan peperiksaan penting.
“Selain menjamin keselamatan, tindakan itu turut memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa dalam menghadapi situasi bencana.

“Usaha berkenaan membuktikan bahawa sokongan agensi penyelamat memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan walaupun berdepan cabaran bencana alam.
“Pengorbanan dan komitmen anggota APM yang sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan wajar diberikan penghargaan tinggi
“Kecekalan serta semangat perkhidmatan mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Diharapkan anggota APM terus kekal bersemangat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai barisan hadapan bantuan kemanusiaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
APM menyifatkan tindakan pantas itu menunjukkan kepentingan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara.














