Sembilan perkara MA63 selesai sepenuhnya - Fadillah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sembilan perkara MA63 selesai sepenuhnya - Fadillah

5 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyelesaikan sepenuhnya sembilan perkara atau tuntutan asas yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, antara perkara yang telah selesai sepenuhnya melibatkan penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah; pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.


"Selain itu ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.


“Selain itu ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.


Beliau memberikan jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 termasuk penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63).


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata satu tuntutan asas melibatkan kajian semula pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D (RM300 juta) telah selesai sebahagian atau interim, manakala tiga tuntutan telah mempunyai keputusan dasar iaitu membabitkan pemberian kuasa mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).


Sementara 14 tuntutan antaranya isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], hak negeri ke atas pelantar benua serta pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan masih dalam perbincangan.


Beliau berkata tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara atau tuntutan asas MA63 adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan kerana isu yang dibincangkan melibatkan perundangan yang kompleks dan memerlukan penelitian terperinci daripada pelbagai aspek.


"Perkara atau tuntutan asas MA63 yang belum diselesaikan akan dipantau dan disusuli oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Sekretariat kepada Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.


"BHESS berperanan memantau pelaksanaan dan menyelaras tindakan berhubung sesuatu isu atau keputusan sama ada di peringkat kementerian/agensi Persekutuan, mahupun di peringkat agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak," katanya.


Mengenai penstrukturan semula JKMTPMA63, Fadillah berkata ia akan dilaksanakan selaras dengan rombakan Kabinet pada 12 Dis 2023 dan hanya akan melibatkan perubahan keahlian di peringkat Persekutuan.


Beliau berkata cadangan penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 tidak akan memberi kesan terhadap perbincangan sedia ada termasuk di peringkat kementerian dan agensi bagi memastikan perkara dan tuntutan asas MA63 yang masih belum dilaksanakan dapat dimuktamadkan mengikut pelan dan garis masa yang ditetapkan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page