Sembunyi Syabu Bernilai RM1.26 Juta Dalam Papan Pemotong Daging
- nabalunews
- 22 hours ago
- 2 min read

8 Januari 2026
KOTA KINABALU: Polis berjaya mematahkan satu sindiket pengedaran dadah yang cuba diseludup masuk menggunakan taktik disembunyikan dalam papan pemotong daging.
Semua dadah yang dianggarkan seberat 39.5 kilogram itu dirampas hasil serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, Selasa lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, pasukan operasi turut berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan dadah berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ketika serbuan, pasukan operasi menemui 40 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semua dadah yang dimasukkan ke dalam papan pemotong daging itu dipercayai bernilai RM1.26 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup dadah ke negeri Sabah melalui jalan laut iaitu menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran sebelum dadah itu dihantar ke destinasi akhir.

“Pihak berkuasa percaya kaedah penyamaran menggunakan barangan dapur harian seperti ‘chopping board’ digunakan bagi mengelakkan pengesanan ketika proses penghantaran dan pemeriksaan rutin,” katanya pada sidang media, di IPK Sabah, hari ini.
Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Benzo dan mereka ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, siasatan juga akan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai lebih besar dan beroperasi merentasi sempadan.
“Kita akan mengadakan beberapa perbincangan dan kerjasama dengan agensi-agensi terlibat untuk memastikan pencegahan kemasukan dadah semaksima yang boleh.
“Sekiranya kita mempunyai kelengkapan yang mencukupi di tempat-tempat masuk ini, sudah tentu pemeriksaan teliti dapat dilaksanakan ke atas semua item yang masuk menggunakan kargo,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut berjaya merampas dadah jenis ketamin dan ekstasi hasil penahanan seorang pengurus kelab malam dalam serbuan di Bundusan, 2 Januari lalu.
Dalam serbuan berkenaan, lelaki berusia 39 tahun itu didapati memiliki dadah berat keseluruhan sebanyak 611.9 gram yang dianggarkan bernilai RM47,980.
Sehubungan itu, Jauteh menegaskan komitmen polis untuk terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di Sabah serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah berkenaan.
Katanya, JSJN juga amat komited dalam usaha memerangi jenayah dadah demi melindungi generasi dan masa depan negara.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline JSJN Sabah ditalian 012-208 7222,” katanya.


















Comments