Semua gagal termasuk Muhyiddin, jika kerajaan gagal: Ismail
top of page
  • Farah Salim

Semua gagal termasuk Muhyiddin, jika kerajaan gagal: Ismail



19 September 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab ke atas pentadbiran kerajaan termasuk perkara melibatkan ekonomi dan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata, jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.


“Dari segi ekonomi Mustapa Mohamed ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri. “Majlis (MPN) pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal.


Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya dalam laporan FMT, hari ini. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelancaran Dasar Tenaga Negara.


Ismail diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang menyarankan Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Muhyiddin dalam catatan Facebooknya hari ini berkata, Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.


“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen. Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” kata Muhyiddin.


Ditanya mengenai tarikh PRU, Ismail berkata perkara itu mungkin akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu ini, sebelum ia dibincangkan di peringkat ‘Top Five Umno’.


Beliau berkata, kemungkinan beliau akan membawa perkara itu kerana terdapat wakil semua parti dalam kerajaan sebelum beliau berlepas ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di Amerika Syarikat pada 21 Sept depan.


“Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau Muhyiddin kata nak PRU15 cepat, tidak kira sebab kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS, PAS dan Umno,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page