Semua Negara Berhak Perkuat Pertahanan Ketenteraan, Tapi Bukan Tujuan Provokasi - PM Anwar
26 November 2024
SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendirian Malaysia bahawa setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuhkan program pertahanan masing-masing, namun hak tersebut bukan bermaksud untuk tujuan provokasi atau menimbulkan ancaman terhadap kedaulatan negara lain.
Perdana Menteri juga berkata Malaysia tegas mengecam tindakan Korea Utara yang bertindak melancarkan peluru berpandu balistik pada Oktober lalu, yang mengancam keselamatan kawasan Korea Selatan.
“Bagi saya setiap negara mempunyai hak untuk mengadakan apa-apa program pertahanan mereka, tetapi tidak berhak menimbulkan provokasi.
“Ini kerana tindakan ini hanya akan menimbulkan ketegangan rantau,” katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke Korea Selatan sebelum berlepas pulang ke tanah air, petang ini.
Lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan selama tiga hari sejak Ahad, adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.
Menurut laporan media tempatan (Korea Selatan), tentera Korea Selatan mendakwa Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada awal bulan ini dan ia pelancaran kedua negara itu terhadap Korea Selatan.
Pada hujung Oktober lalu, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) iaitu bahan api pepejal yang paling maju dan berkuasa dalam ujian senjatanya.
Anwar berkata Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap wawasan Presiden Yoon untuk menyatukan Semenanjung Korea.
Pendirian itu disambut baik dan dizahirkan secara langsung oleh Yoon kepada Anwar dalam mesyuarat dua hala kedua-dua pemimpin.
“Presiden Yoon mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dukungan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea, daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” katanya.
Comments