top of page
  • Wartawan Nabalu News

Semua platform boleh diguna untuk tuntut hak Sabah menurut Perlembagaan - Ewon

Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

16 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa semua saluran dan platform yang ada boleh digunakan untuk menuntut hak Sabah menurut perlembagaan.


Platform tersebut, menurut beliau, termasuklah perundangan, kabinet, parlimen dan jawatankuasa-jawatankuasa khas.


“Saya telah mendapat perlantikan secara rasmi sebagai anggota Majlis Khas Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah serta menteri sekretariat bagi membincangkan hak-hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan.


“Di Kabinet Persekutuan, saya telah bersuara berkenaan hak Sabah. Maka dengan platform baru ini, saya akan teruskan tuntutan rakyat Sabah, tuntutan parti dan pakatan parti saya supaya apa yang kami perjuangkan melalui proses mahkamah juga akan dibincang dalam platform baru kepada saya ini, iaitu Majlis Khas Sabah dan Sarawak. Saya akan kerahkan segala kudrat saya menerusi semua platform yang dibolehkan kepada saya untuk menuntut hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia menyatakan demikian apabila ditanya media mengenai status terkini Saman Pemula yang difailkan oleh Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah di Mahkamah Tinggi.

Menurut Ewon, proses perundangan tersebut akan diteruskan sepertimana diputuskan oleh semua plaintif sebelum ini.


“Pada masa ini, tindakan tuntutan hak Sabah melalui proses mahkamah masih diteruskan oleh kesemua plaintif. Kita juga mengambilkira bahawa terdapat satu lagi prosiding mahkamah bagi isu yang sama diambil oleh Sabah Law Society. Justeru apa yang saya boleh katakan setakat masa ini, ianya masih diteruskan oleh plaintif.


“Isu ini (tuntutan hak 40% hasil persekutuan di Sabah) sudah berpanjangan sekian lama, sejak sebelum saya lahir sehingga saya berada di sini hari ini. Jadi saya berpendapat semua platfotm yang ada boleh digunakan untuk menuntut hak Sabah menurut Perlembagaan,” katanya.


Terdahulu Ewon menyampaikan ucapan sempena Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat Zon Sabah anjuran kementerian beliau yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

Comments


bottom of page