top of page

Seorang lagi penjenayah dikehendaki ditembak mati di Sabah

  • nabalunews
  • Dec 5, 2024
  • 1 min read



5 Disember 2024


KOTA KINABALU: Selepas kejayaan Polis Kontinjen Sabah menembak mati 3 penjenayah di apartment Beverly Hills, Bundusan, Penampang, pada Selasa, seorang lagi penjenayah yang dikehendaki, mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam di sini, awal pagi tadi


Suspek berusia 59 tahun itu dipercayai rakan tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di apartment Beverly Hill, Penampang, pada 3 Disember lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan, pada jam 2.30 pagi.


Katanya ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan pasukan serbuan bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan diri.


Dalam kejadian tembak menembak itu, suspek disahkan mati di tempat kejadian, katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, pagi ini.


Menurutnya, suspek yang dikehendaki ini berasal dari Sarawak dan dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati di apartment Beverly Hills Penampang, pada Selasa.


Tiga suspek itu dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.


Azmi berkata dengan ini polis berjaya menumpaskan kesemua empat penjenayah yang dikehendaki itu.


Namun katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut.


Lokasi kejadian tembak menembak terletak berhampiran Terminal Bas Inanam yang menyediakan perkhidmatan bas jarak jauh ke Pantai Timur Sabah.


Pada malam Selasa lalu, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Sabah menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di sebuah apartment di Beverly Hills, Bundusan.


Dalam kejadian jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page