Sepeda Amal Borneo 2025
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 2 min read

27 Julai 2025
SANDAKAN: Seramai 17 individu yang terdiri daripada pelbagai profesion dan latar belakang menyertai kayuhan amal sejauh 600 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu bermula Ahad ini.
Program Sepeda Amal Borneo 2025 selama enam hari itu dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan kerjasama Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC) dan mendapat sokongan peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika, Macau dan Singapura.
Program berkenaan diadakan untuk mengutip dana dan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan penjagaan Paliatif Pediatrik di Sabah.

Ia juga sebagai sokongan kepada penubuhan Hospis Kanak-Kanak Malaysia (MCH) Kota Kinabalu yang juga hospis pertama yang dikhususkan untuk kanak-kanak dengan keadaan berkenaan.
Upacara pelepasan peserta kayuhan yang berlangsung di hadapan Livingston Hotel, di sini pada Ahad disempurnakan Pegawai Khas Ahli Parlimen Sandakan, Teo Chee Kim.
Turut hadir, Pengerusi SEPEDA Amal Borneo juga Pengerusi SCHOMOS MMA, Dr.Timothy Cheng dan yang lain yang turut sama menyertai kayuhan amal itu.
Dalam ucapan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, perkhidmatan paliatif kanak-kanak ini sangat penting dan perlu terus diutamakan dalam suatu sistem kesihatan yang holistik.
“Difahamkan, hanya enam doktor pakar paliatif kanak-kanak yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimana dianggarkan terdapat sembilan juta kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan ini.
"Kita dapat lihat bahawa kepakaran dalam perkhidmatan ini adalah sangat kurang dan saya berharap KKM akan mengambil perhatian dalam isu.
“Ia juga bagi melatih lebih ramai doktor dalam kepakaran ini dan juga memberikan lebih banyak dana bagi memperkembangkan bidang paliatif kanak-kanak." katanya.
Teks ucapannya dibacakan Pegawai Khas Ahli Parlimen Sandakan, Teo Chee Kim.
Sementara itu, Vivian berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa antara visi MAPPAC adalah untuk menubuhkan hospis kanak-kanak yang pertama di Sabah.
"Saya sangat menyokong usaha ini dan saya berharap kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah turut membantu dalam menubuhkan hospis kanak-kanak Sabah dalam masa terdekat ini." katanya.
Vivian menambah, jika kita mempunyai suatu premis di mana kanak-kanak boleh mendapatkan perkhidmatan paliatif tanpa perlu ulang alik ke hospital, ia juga satu perkembangan yang baik.
"Bukan sahaja kita boleh memberikan rawatan kepada pesakit, malah kita juga boleh meringankan sedikit bebanan yang dihadapi oleh ibu bapa." Jelasnya.
"Saya berharap, dengan usaha bersama MMA dan MAPPAC ini, mimpi ini akan menjadi realiti,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan terus mengangkat inisiatif ini dan menyebarkan kesedaran tentang pentingnya perkhidmatan palitiatif kanak-kanak terutamanya di Sabah.















Comments