Serahan dokumen statutori di kaunter SSM ditamatkan mulai 1 Jun
- nabalunews
- Apr 27
- 1 min read

27 April 2024
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menamatkan perkhidmatan serahan dokumen statutori secara fizikal di kaunter agensi itu di seluruh negara bermula 1 Jun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sejajar dengan agenda pendigitalan kebangsaan menerusi inisiatif Malaysian Business Reporting System 2.0 (MBRS 2.0) secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan secara tiga peringkat dengan fasa pertama bermula pada 1 Disember tahun lalu sementara fasa kedua berkuatkuasa pada 1 Mac lalu dan fasa ketiga bermula 1 Jun depan.
“Dengan pelaksanaan fasa ketiga, urusan serah simpan dokumen statutori secara mandatori melalui serahan secara fizikal akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Jun 2025.
“Melalui system MBRS 2.0, dokumen statutori boleh dihantar secara dalam talian melalui portal rasmi SSM dan platform digital berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan berkata, MBRS 2.0 merupakan sistem serah simpan dokumen statutori yang telah dipertingkatkan berbanding versi asal MBRS.
Menurutnya, sistem tersebut diperkenalkan khusus untuk memudah cara penyerahan penyata tahunan, penyata kewangan, laporan serta permohonan pengecualian secara berperingkat di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat 1965.
“Ia merupakan satu langkah penting dalam usaha mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara lebih cekap, telus serta mesra pengguna.
“Ini sejajar dengan agenda Kerajaan Madani dalam melonjakkan pendigitalan perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.
Comments