SERAMAI 75,789 PEKERJA ASING BERDAFTAR DI SABAH SETAKAT 24 NOV: MASIDI
- Wartawan Nabalu News
- Nov 30, 2020
- 1 min read

30 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, seramai 75,789 pekerja warga asing berdaftar di negeri ini setakat 24 November.
Beliau berkata, para pekerja asing itu bekerja dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perkilangan, perladangan dan pembantu rumah.
“Pada 27 November lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa ujian Covid-19 ke atas pekerja-pekerja asing akan diadakan secara berperingkat dan bersasar di beberapa negeri termasuk Sabah, bermula 1 Disember ini.
“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan dan penelitian Kerajaan Negeri meliputi pelbagai aspek termasuk aspek pelaksanaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah, Masidi berkata, sehingga hari ini sebanyak 10 lokaliti masih berada di bawah PKPD manakala 24 lokaliti telah tamat PKPD.
Beliau berkata, setakat hari ini (30 November) seramai 4,381 penduduk Taman Telipok Ria disaring Covid-19 dan seramai 339 orang disahkan positif, manakala 3,186 orang negatif dan 858 orang lagi masih menunggu keputusan.


















Comments