Serbuan Mengejut OPS Tiris 4.0: Cubaan Penyelewengan Diesel Dipatahkan
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

1 April 2026
BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 200 liter minyak diesel yang ciba diseleweng dalam serbuan mengejut Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di sini, semalam.
Dalam operasi berkenaan, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero turut dirampas selepas didapati diubah suai menggunakan tangki tambahan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat serta pemerhatian pasukan penguat kuasa selepas mengesan aktiviti mencurigakan di stesen berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan telah diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter minyak diesel.
“Susulan itu, pihak KPDN telah menyita kenderaan berkenaan dan semua minyak diesel serta dokumen berkaitan dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pemandu kenderaan turut dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis, manakala, nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.
Sehubungan itu, Julie menegaskan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 merupakan komitmen berterusan KPDN dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan bahan api bersubsidi.
“KPDN menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.















Comments