SESB diminta bertindak segera perbaiki tiang elektrik hampir tumbang di Kampung Lingkubang
19 Oktober 2024
KOTA BELUD : Kediaman seorang penduduk Kampung Lingkubang, di sini kini berdepan risiko keselamatan akibat sebuah tiang elektrik yang hampir tumbang akibat kejadian tanah runtuh.
Sehubungan itu, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah diminta untuk mengambil tindakan segera bagi memperbaiki keadaan tersebut sebelum sebarang insiden buruk berlaku.
Jumaat lalu, Pemaju Mukim dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian, Anichlose Kesimin, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, turun padang untuk meninjau kawasan kediaman Daini Doronsoi, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu.
Kejadian tanah runtuh ini bukan sahaja merosakkan persekitaran rumah, tetapi juga memberi kesan kepada kestabilan sebatang tiang elektrik berhampiran.
Menurut Anichlose, pihaknya segera bertindak dengan menghubungi SESB bagi memaklumkan tentang situasi berbahaya ini, dan mendesak agar tindakan pembaikan dilakukan secepat mungkin. Tiang elektrik yang condong itu berpotensi mengancam keselamatan penduduk jika tidak segera diperbaiki.
Tinjauan tersebut turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ailing Yakim, serta beberapa penduduk kampung yang prihatin. Mereka berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan pantas demi keselamatan bersama.
Comments