top of page

SESB kini dikenali Sabah Electricity

  • nabalunews
  • Oct 26, 2024
  • 2 min read



25 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Syarikat utiliti elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini dijenamakan semula sebagai Sabah Electricity dengan imej korporat yang baharu bermula hari ini.


Anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu kini menggunakan lambang korporat bermotifkan Gunung Kinabalu dengan warna biru dan hijau.


Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, perubahan imej itu selaras dengan komitmen syarikat untuk meningkatkan kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.


"Apa yang lebih penting ialah seluruh warga SESB kini mengorak langkah sebagai satu pasukan yang bersatu padu, sebuah pasukan prosgresif untuk membawa nama SESB kembali bersinar dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.


"Lantaran itu, pada hari ini, sebuah lagi sejarah terukir, menandakan sebuah anjakan baharu kepada warga SESB secara keseluruhannya. Kita sudah melepasi usia 25 tahun sejak diswastakan pada 1998," katanya pada majlis pelancaran jenama baharu syarikat utiliti itu, di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar.


Sejajar dengan penjenamaan semula itu, kaunter perkhidmatan syarikat berkenaan yang sebelum ini beroperasi di Bangunan SESB di Karamunsing kini dipindahkan di Kompleks Kuwasa, di sini.


Talian Careline Sabah Electricity juga telah diperbaharui kepada nombor 15444.


Sementara itu, Madius berkata, seiring dengan penjenamaan semula itu, Sabah Electricity menetapkan sasaran untuk mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) kepada 100 minit menjelang 2030, berbanding 220 minit ketika ini.


"Semakin berkurang angka SAIDI bermaksud bekalan elektrik itu adalah semakin baik dan stabil dan sebenarnya beberapa kawasan juga mencatat kadar SAIDI yang lebih baik pada kadar dua digit setanding dengan kestabilan elektrik di Semenanjung," katanya.


"Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan nama atau logo, tetapi melambangkan komitmen kami untuk memperkukuhkan perkhidmatan elektrik di Sabah dan Labuan, serta memenuhi harapan masyarakat yang terus berkembang. Penjenamaan ini juga sebagai tanda komitmen Sabah Electricity terhadap inisiatif ESG yang lebih hijau, lestari dan mesra alam," tegasnya.


Madius berkata, beberapa langkah digariskan untuk mencapai sasaran itu, khususnya usaha meningkatkan rizab margin bekalan tenaga yang kini pada tahap kritikal, di bawah paras 12 peratus.

Kommentarer


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page