Sesiapa Sahaja Terlibat Rasuah Mesti Diambil Tindakan - PM Anwar
12 November 2024
KAHERAH : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan rasuah perlu diambil tindakan tegas, selaras dengan prinsip dan dasar Kerajaan MADANI yang menitikberatkan integriti dan tadbir urus yang baik.
Namun, beliau turut menekankan bahawa setiap tindakan yang diambil harus berlandaskan ketelusan serta keadilan.
Anwar menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira pangkat atau kedudukan, bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara.
“Kalau kita benar, kalau kita ini sungguh-sungguh dan beriltizam dalam membanteras rasuah yang sudah menjadi sistemik ini, maka kita beri laluan sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan kerja secara profesional.
“Jangan kita desak supaya mesti ambil tindakan sekarang atau minggu depan. Kalau tanya saya, mesti disegerakan, mesti telus, mesti adil, bila? itu terserah kepada keupayaan (pihak berkuasa),” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga beliau ke Mesir pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai dakwaan kes lapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat rasuah dan seorang pemberi maklumat bagi kes itu dikatakan sudah menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ditanya jika beliau ada menerima surat daripada pemberi maklumat berkenaan bagi memohon perlindungan, Anwar berkata beliau tidak menerima sebarang surat dan kalau pun menerima surat, beliau akan terus menyerahkannya kepada SPRM.
Mengenai perlindungan kepada pemberi maklumat kes rasuah, Anwar berkata perlindungan tidak boleh diberikan berlandaskan maklumat yang samar-samar.
“Tetapi jangan sesiapa sahaja beri maklumat, terus diberi perlindungan. Inilah yang saya tengok dalam liputan media sekarang, siapa sahaja beri maklumat, mengapa Perdana Menteri tidak beri perlindungan?.
“Saya tak tahu kes apa...apa yang dia lakukan, mungkin bersih, mungkin baik, mungkin tidak terlibat, mungkin terlibat. Jadi serah kepada pihak penguatkuasaan,” katanya.
Justeru Anwar berkata jawatan Perdana Menteri tidak boleh digunakan untuk memberi perlindungan kepada sesiapa.
“Orang yang beri maklumat secara ikhlas dan tidak terlibat dalam rasuah harus diberikan perlindungan. Bagi yang sah, bagi yang tidak terlibat dalam rasuah, dasar kita mesti diberi perlindungan,” katanya.
Σχόλια