top of page

Shafie hargai sokongan besar pengundi Cina

  • nabalunews
  • Nov 30, 2025
  • 1 min read

30 November 2025


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menzahirkan penghargaan kepada pengundi di seluruh negeri, khususnya masyarakat Cina, atas sokongan padu yang diterima parti itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) ke-17 semalam.


Beliau berkata, perubahan besar sokongan komuniti berkenaan membolehkan Warisan menang di beberapa kawasan bandar yang sebelum ini dianggap kubu kuat DAP dan PKR.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi terutama masyarakat Cina di kerusi bandar kerana beri undi yang besar.


“Semua kerusi yang kita tandingi di kawasan majoriti Cina menunjukkan sokongan yang sangat baik,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.


Shafie, yang berjaya mempertahankan kerusi Senallang berkata, beliau tidak pernah melihat lonjakan politik sebegini sepanjang 36 tahun penglibatannya dalam politik.


“Kepercayaan yang rakyat Sabah berikan kepada kami, khususnya komuniti Cina, akan kami pelihara dan Warisan akan terus memperjuangkan perpaduan serta sebuah gabungan politik yang benar-benar dipimpin Sabah,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa mandat yang diberikan akan dilaksanakan sebaik mungkin, selaras dengan harapan rakyat untuk melihat pentadbiran yang telus dan berintegriti.


Selain itu, Shafie turut menegaskan pendirian Warisan untuk terus memperkukuh kerjasama antara parti-parti tempatan di Sabah, sambil mengekalkan hubungan konstruktif dengan kerajaan Persekutuan.


Warisan memenangi 25 kerusi dalam pilihan raya negeri kali ini, menjadikannya parti tunggal terbesar di Sabah.


Parti itu juga memainkan peranan utama menyingkirkan DAP daripada DUN Sabah selepas merampas Luyang, Likas, Sri Tanjong, Tanjong Papat, Elopura dan Kapayan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page