Siasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi LPPR – PHSiasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi LPPR – PH
top of page
  • Farah Salim

Siasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi LPPR – PH



7 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Pesuruhjaya (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang berkhidmat sebelum ini.


Menerusi satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH kesal kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Tan Sri Azam Baki.


Katanya, ia bukan sahaja menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa, seperti kenyataan yang dibuat Transparency International.


“Majlis Presiden mendesak Ketua Pesuruhjaya serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat oleh satu badan bebas dan direhatkan sementara siasatan ini berjalan atas kemungkinan kegagalan menjalankan tugas mengikut undang-undang.


“Kami tidak dapat menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam, oleh kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan (conflict of interest) melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.


“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang diguna untuk pembelian jutaan saham ini,” kata Majlis PH itu.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibarhim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Menurut kenyataan itu lagi, seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh perlu dilakukan kerana ia melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, tetapi Pengerusi LPPR begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut.


Malah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ianya akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam Baki tentang perkara itu demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia.


Majlis Presiden PH berpandangan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.


“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai pegawai SPRM.


“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak,” kata Majlis Presiden PH.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page