top of page
nabalunews

Sidang DUN: Belanjawan Sabah RM6.421 bilion tahun depan lulus




21 November 2024


KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Belanjawan Negeri 2025 yang memperuntukkan RM6.421 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri selepas dibahaskan pada Persidangan DUN sejak Isnin lalu.


Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025) 2024 itu diluluskan malam ini

selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejurus selesai penggulungan perbahasan semua kementerian, malam ini.


Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim N Yahya mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali ketiga RUU berkenaan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.


Jumaat lalu ketika membentangkan Belanjawan 2025, Masidi berkata Belanjawan Sabah tahun hadapan masih mencatat lebihan sebanyak RM24.08 juta ekoran unjuran hasil negeri mencapai RM6.445 bilion.


Beliau berkata, belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu menekankan strategi pengagihan peruntukan kepada sektor produktif dengan keyakinan pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh ke arah meningkatkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.


“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk kita berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip. Semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi.


“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil.


“Justeru itu, bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Sabah julung kalinya mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.421 bilion dengan Anggaran Hasil Negeri sebanyak RM6.445 bilion.


“Meskipun begitu, Belanjawan Negeri 2025 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM24.08 juta,” katanya.

Comments


bottom of page