top of page
nabalunews

Sidang DUN: Lapangan Terbang Tawau kekal berstatus domestik



22 November 2024


KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Tawau (LTT) kekal sebagai lapangan terbang domestik selepas siap dinaik taraf pada 2028.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata projek naik taraf itu hanya untuk membolehkan lapangan terbang itu menampung lebih ramai penumpang.


Katanya, projek menaik taraf LTT yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bakal meningkatkan kapasitinya kepada 2.5 juta penumpang setahun (MPPA) berbanding 1.5 MPPA ketika ini.


“Melalui pengumuman yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf lapangan terbang sedia ada daripada 1.5 MPPA kepada 2.5 MPPA.


“Kerja-kerja perolehan bagi melantik juruperunding telahpun berjalan dan projek menaik taraf lapangan terbang dijangka siap sepenuhnya pada 2028.


“Namun, Lapangan Terbang Tawau akan kekal sebagai lapangan terbang domestik yang juga mampu mengendalikan penerbangan antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Beliau menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (Warisan – Sri Tanjong) di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis mengenai sama ada LTT dijadikan lapangan terbang antarabangsa selepas naik taraf itu.


Christina bagaimanapun berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) pada masa yang sama sedang menjalankan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP) yang merangkumi hala tuju dan fungsi setiap lapangan terbang di Malaysia.


“Oleh yang demikian, keperluan menaik taraf status Lapangan Terbang Tawau sedia ada kepada lapangan terbang antarabangsa adalah tertakluk kepada hasil dapatan kajian itu,” katanya.


Ketika ini, katanya LTT adalah lapangan terbang domestik yang direka bentuk untuk menampung keperluan 1.5 MPPA.


Beliau berkata, infrastruktur dan kemudahan sedia ada di lapangan terbang itu juga mampu menampung keperluan operasi laluan domestik dan antarabangsa.


“Landasan sedia ada mampu untuk menampung keperluan operasi kapal jenis kod 4D,” katanya.

Comments


bottom of page