- Wartawan Nabalu News
SIDANG PARLIMEN AKAN DIADAKAN LIMA HARI MULAI 26 JULAI

5 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
"Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen," menurut kenyataan itu.
Katanya lagi, mesyuarat ini akan diadakan mengikut SOP yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini," katanya.