top of page

Sindiket Pembelian Kad Debit ATM: 21 Individu Ditahan

  • nabalunews
  • Mar 11
  • 1 min read

11 Mac 2025


KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pembelian kad Automated Teller Machine (ATM) yang dikenalpasti aktif di sekitar daerah Kota Kinabalu.


Sindiket berkenaan dipercayai membeli kad ATM berkenaan untuk digunakan dalam kegiatan penipuan tanpa pengetahuan pemilik asal.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sepanjang lima bulan lalu, seramai 21 individu yang dikenalpasti terlibat dalam kegiatan berkenaan berjaya ditahan.


Katanya, semua tangkapan berkenaan berjaya dilakukan menerusi tiga serbuan di sekitar daerah ini dan merampas 125 keping kad ATM melibatkan pelbagai institusi kewangan.


“Tangkapan terbaru dilakukan dalam operasi jam 7.30 malam, 6 Mac lalu, di mana dua suspek dipercayai membeli kad ATM daripada pemilik asal ditahan.


“Kedua-dua suspek menawarkan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap kad,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Kasim berkata, semasa tangkapan dilakukan, polis turut berjaya merampas 10 keping kad ATM yang dipercayai milik individu lain.


Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B akta sama.


Sehubungan itu, Kasim berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menjual, menyewa atau menyerahkan kad ATM peribadi kepada mana-mana individu atau pihak tertentu.


“Ini kerana kad berkenaan boleh digunakan untuk kegiatan penipuan tanpa pengetahuan pemilik asal.


“Pihak polis juga ingin mengingatkan sekiranya kad ATM didapati digunakan bagi tujuan penipuan, pemilik kad boleh dikenakan tindakan undang-undang.


“Pemilik kad boleh didakwa mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Коментарі


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page