Sindiket pinjaman wang tidak berlesen semakin berleluasa
- Wartawan Nabalu News
- Feb 10, 2022
- 2 min read

10 Februari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Ah Long menggunakan aplikasi dalam telefon bimbit atau dalam talian bagi memerangkap mereka yang terdesak menjadi mangsa mereka.
Seorang lelaki yang kehilangan kerja semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu berkata, pada Oktober tahun lalu, dia terdesak dan meminjam RM200 melalui aplikasi dalam talian itu.
Mangsa yang enggan namanya dipaparkan berkata, dia telah masuk ke dalam aplikasi yang disebarkan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
“Pada mulanya saya berfikir aplikasi ini adalah jalan penyelesaian masalah kewangan saya. Saya telah mencuba membuat pinjaman dalam angka yang kecil untuk saya gunakan membeli makanan dan keperluan,” kata mangsa tersebut.
Apabila membuat pinjaman melalui aplikasi tersebut, peminjam perlu memuatnaikkan gambar kad pengenalan berserta video pengakuan bahawa dia menerima pinjaman itu.
"Selepas dua bulan saya tidak dapat mebayar pinjaman tersebut, mereka mula mencari saya dan menghubungi semua nombor yang ada dalam telefon bimbit saya,” katanya.
Menurut mangsa, nombor-nombor dalam telefon bimbitnya mungkin didapati oleh mereka dengan menggodam isi telefon bimbit itu melalui aplikasi yang didaftarkan.
"Mereka menghubungi saya setiap hari dan meminta bayaran balik hampir 10 kali ganda daripada pinjaman yang saya buat. Oleh itu, saya enggan membayarnya dan mereka mulai menghubungi semua nombor yang mereka ambil daripda telefon bimbit saya.
“Mereka juga menghantar gambar kad pengenalan mangsa serta video pengakuan pinjamannya kepada semua nombor yang diambil dari telfon bimbit mangsa setiap hari,” katanya.
Mangsa berharap pihak berkuasa dapat mencegah sindiket ini agar orang ramai tidak termasuk dalam perangkap mereka. Mangsa turut menyatakan rasa kesalnya kerana membuat keputusan membuat pinjaman itu.
“Selepas kejadian ini mula berlaku, hidup saya tidak lagi tenang kerana mereka mencari saya setiap hari dan saya tidak mampu membayar hutang itu,” katanya dan menambah, laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu.















Comments