Siren tsunami di Kota Belud mengalami masalah teknikal, tiada amaran tsunami - MetMalaysia
4 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Orang ramai diminta tidak bimbang apabila siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di Kota Belud berbunyi awal pagi tadi kerana ia disebabkan oleh masalah teknikal dan bukan menandakan adanya ancaman tsunami.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini berkata, ia tidak mengeluarkan sebarang amaran atau nasihat tsunami pada masa ini dan kejadian siren SAATNM di kawasan Masjid Imam Haji Mustapah, Kota Belud itu dikhuatiri kerana masalah teknikal.
"... tindakan sewajarnya sedang diambil. MetMalaysia memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kesulitan yang timbul ekoran kejadian ini," katanya.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih berkenaan gempa bumi dan tsunami menerusi laman web [MetMalaysia], aplikasi mobil [myCuaca], media sosial rasmi MetMalaysia serta hotline 1-300-221638.
Comments