Sistem DGIM bantu pengurusan banjir lebih berkesan – Armizan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sistem DGIM bantu pengurusan banjir lebih berkesan – Armizan



23 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) yang mengintegrasikan data spatial dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dijangka dapat membantu pengurusan bencana banjir di seluruh negara pada tahun ini, dengan lebih sistematik dan lancar.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sistem tersebut sedang digunakan bagi mengawasi Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengoperasian 'dashboard' bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Beliau berkata, sistem DGIM yang dibangunkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEN) itu, menyediakan data seperti jumlah penduduk di sesuatu kawasan, jenis guna tanah, kawasan 'hotspot' banjir, kawasan cerun berisiko, lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan yang sedang beroperasi, jumlah mangsa banjir, kemudahan dan utiliti awam.


"Insya Allah, pengurusan banjir pada tahun ini akan lebih lancar berbanding sebelum ini dan pengoperasian dapat dilakukan lebih cepat untuk melaksanakan penyelarasan.


"Data berkenaan boleh menjadi rujukan bagi menguruskan bencana dengan lebih berkesan, seperti meningkatkan kesiapsiagaan, mengatur operasi tindak balas dan menjadi input penyediaan pelaporan serta anggaran nilai kerosakan akibat bencana.


"Pada masa sama, agensi berkaitan dan NGO bukan saja boleh membuat pelaporan bantuan yang diberikan, malah mendapat maklumat jenis bantuan yang diperlukan di sesuatu kawasan supaya bantuan tepat dengan keperluan bagi mengelakkan lambakan bantuan yang bukan keperluan sebenar," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama media dan rakan NADMA di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), NADMA Malaysia di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Armizan berkata, setakat ini, sistem DGIM diguna pakai di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam dan akan diperluas ke peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah.


"Kita lihat ada juga maklum balas dari negeri untuk membangunkan sistem sendiri tetapi apabila kita adakan libat urus mengenai DGIM dan 'dashboard' yang sudah tersedia, mereka gembira dan memang rancangan kita untuk turut berkongsi sistem ini dengan mereka," katanya.


Selain itu, Armizan berkata, bagi meningkatkan lagi keupayaan DGIM dalam mengintegrasi data spatial dari pelbagai agensi, satu Kumpulan Kerja Geo-Dataraya Pengurusan Bencana ditubuhkan pada bulan lalu bagi memudahkan perkongsian data dan kepakaran pelbagai agensi, membabitkan 11 agensi, antaranya Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Meteoologi Malaysia (METMalaysia).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page