top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sistem kuota Melayu, Bumiputera dalam pendidikan tidak boleh dihapuskan – PM


9 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan tidak boleh dihapuskan, kerana ia adalah satu jaminan dan peluang bagi kaum itu untuk bersaing di institusi pengajian tinggi (IPT).


Beliau berkata, jika sistem itu dimansuhkan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan atau 'tempang' jumlah pelajar Melayu di IPT, terutamanya dalam jurusan-jurusan tertentu yang memerlukan kelayakan tinggi.


"Beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan, peluang supaya anak-anak Melayu dan Bumiputera itu diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan.


"Kalau tidak... kita akan lihat kesenjangan berlaku, seperti yang berlaku di Universiti Malaya pada tahun 1970-an, 1960-an. Fakulti Kejuruteraan - anak Melayu zero, kalau masuk koyak, fakulti perubatan 12 peratus. Jadi ada usaha oleh Allahyarham Ungku Aziz (Profesor Diraja) dan kementerian berkaitan pada masa itu untuk membantu anak-anak Melayu supaya boleh Bersain,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini pada Sabtu.


Anwar berkata, sistem kuota Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada prinsip-prinsip dalam Perlembagaan negara yang perlu dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak.


Bagaimanapun, beliau berkata, sistem kuota itu tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan, dan kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar dari kalangan bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang cemerlang.


"Program kuota ini saya setuju kekalkan, tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih," katanya.


Comentários


bottom of page