Sistem pendigitalan terus diperkasa di Dewan Rakyat - Johari
- nabalunews
- Aug 7, 2024
- 1 min read

7 Ogos 2024
ALOR SETAR : Sistem perdigitalan akan terus diperkasakan dalam urusan Dewan Rakyat. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, penggunaan sistem digital masa kini membantu urusan dalam dewan dengan lebih cepat dan lancar selain menjimatkan kos.
Menurutnya, Kedah dan Selangor menjadi antara negeri yang menggunakan sistem pendigitalan yang berkesan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
"Saya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah jadi semenjak masuk ke Parlimen, saya telah membawa idea pendigitalan di Sidang DUN Kedah untuk disesuaikan di Parlimen.
"Saya lihat urusan melibatkan soalan-soalan tambahan dan pemberian jawapan semasa persidangan juga menjadi lebih cepat. Kalau zaman dulu mungkin tiga minggu baru dapat jawapan, sekarang ini boleh dapat dengan segera," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Johari berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurutnya sistem pendigitalan dalam dewan menjadi antara perkara yang akan dibincangkan pada Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 14 September ini.
Januari lalu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan sistem eHantar adalah antara usaha terkini Parlimen untuk mendigitalkan urusan dewan serta meningkatkan mutu perbahasan Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Melalui sistem itu, pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), serta usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 boleh disampaikan melalui sistem eHantar.
Comentarios