SJA harap Tahun Harimau bawa tuah industri media
- Wartawan Nabalu News
- Jan 30, 2022
- 1 min read

30 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar berharap tahun 2022 dan Tahun Harimau membawa nafas baharu kepada industri media.
Beliau berkata, tahun 2020 dan 2021 adalah tahun mencabar bagi ramai pengamal media.
“Banyak pekerjaan hilang melalui pemberhentian, pemotongan gaji dan amat menyedihkan penutupan akhbar New Sabah Times. Semua ini menyedihkan bagi ramai yang terjejas secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Dwitahunan SJA, di sini, kelmarin.
Dalam mesyuarat itu pemilihan ahli jawatankuasa turut diadakan dan menyaksikan Muguntan dilantik semula sebagai presiden persatuan.
Durie Rainer Fong sebagai Naib Presiden, Siti Aisyah Narudin (Setiausaha), Ricardo Unto (Penolong Setiausaha), Mariah Doksil (Bendahari) dan Suraidah Roslan (Penolong Bendahari).
Ahli jawatankuasa lain ialah Mohd Salleh Jikir, Sharon Raymond Kisil, Angela Tan, Mohd Nazlie Zainul dan Julia Chan.
Muguntan berkata, media arus perdana wajar memberikan yang terbaik kepada pembaca yang memerlukan lebih daripada apa yang mereka lihat dalam media sosial.
“Walaupun media sosial memainkan peranan penting dalam sesetengah kes, namun media arus perdana dapat memberikan laporan yang lebih seimbang tanpa prejudis," katanya.















Comments