SKM peruntuk RM3 juta bagi Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SKM peruntuk RM3 juta bagi Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi: Ewon


10 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan dana berjumlah RM3 juta dengan sasaran 15 koperasi bagi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE), tahun ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata berkata, objektif program itu adalah membangun dan menaiktaraf Pusat Pengedaran atau Pusat Pengumpulan baharu dan sedia ada.


“Oleh itu, saya menyarankan agar koperasi-koperasi  yang berpotensi supaya merebut peluang yang tersedia ini.


“Pihak kementerian juga terus berusaha memenuhi keperluan usahawan bagi mendepani cabaran-cabaran serta meningkatkan kemampanan perniagaan. Ini termasuklah mengenai fasiliti perniagaan, pembiayaan usahawan dan pembangunan kapasiti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan merasmikan Program Pemantapan Rangkaian Perniagaan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi Negeri Sabah Tahun 2023, di Hotel Raia, di sini, hari ini.


Ewon berkata, apa yang penting ialah koperasi perlu melihat isu atau masalah dalam konteks pemborongan dan peruncitan secara menyeluruh dan holistik.


“Sebaiknya koperasi perlu fokus dengan memberi nilai tambah kepada pengguna dan aktiviti peruncitan yang dijalankan. Kemampuan koperasi menyelesaikan masalah pengguna membolehkan koperasi terus bersaing dengan pemain yang lebih besar.


“Justeru itu, peranan Federasi Koperasi Sektor Pemborongan dan Peruncitan perlu diperkukuhkan dan pelaksanan program SCOPE ini pasti akan menguntungkan masyarakat yang ditawarkan melalui kedai Koperasi khususnya di Sabah yang mempunyai jarak di antara daerah-daerah yang sangat jauh terutama di kawasan pedalaman,” katanya.


Beliau berkata, kerjasama koperasi-koperasi dan agensi juga dapat mewujudkan sebuah ekosistem Gerakan Koperasi MADANI.


“Saya yakin dan percaya Gerakan Koperasi di seluruh Malaysia akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Ewon berkata, bagi memperkukuhkan Gerakan Koperasi, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) telah menggariskan peranan koperasi melalui Teras Strategik 3 - Meransang Pembangunan Keusahawanan Bersepadu dan Holistik yang memberi fokus koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi yang inklusif.


Sehubungan itu katanya, sasaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) melalui 19 strategi dan 62 inisiatif mensasarkan sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM60 bilion menjelang tahun 2025 dan dijangka meningkat kepada RM100 bilion pada tahun 2030.


Katanya bagi mencapai sasaran itu, usaha berterusan perlu dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari.


“Ini termasuk mewujud dan memperluaskan lagi jaringan perniagaan, berinovasi dalam pasaran serta menerokai sumber-sumber baharu yang boleh menambah nilai produk serta perkhidmatan sedia ada.


“Ia bersesuaian dengan program hari ini dengan mengumpulkan koperasi-koperasi sektor pemborongan dan peruncitan di Sabah serta peranan federasi membantu koperasi-koperasi di Sabah,” katanya.


Ewon turut menggesa agar gerakan koperasi lebih kreatif, berinovasi dan menceburi perniagaan berskala besar serta sentiasa memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan inovasi.


“Saya berharap melalui program seumpama ini koperasi dapat berkongsi maklumat dan pengalaman perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi.


“Sektor koperasi merupakan instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan B40 dan seterusnya membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar,” katanya.

bottom of page