SKM Tingkatkan Kemudahan Komuniti dengan Sumbangan CSR di Kadamaian
7 Disember 2024
KOTA BELUD: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meneruskan komitmen untuk pembangunan masyarakat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbangkan peralatan kerusi dan meja bernilai RM50,000 kepada tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tiga kelab komuniti di Kadamaian, Kota Belud, hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan secara simbolik telah diadakan di Dataran Skyblue, Kampung Piasau, di perkarangan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Sumbangan disampaikan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM Negeri Sabah, Malisah Sinin kepada wakil-wakil penerima.
Tujuh JKKK yang menerima manfaat program ini adalah Kampung Talungan, Kampung Lasau Lama, Kampung Pinasang Moroulu, Kampung Bukid, Kampung Takulung, Kampung Melangkap Nariou dan Kampung Bahab.
Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada Kelab Kebajikan Kadamaian, Kelab Belia Kampung Sayap dan Kelab Progresif Kadamaian Kota Belud.
Program ini bertujuan memperkukuh kemudahan asas komuniti luar bandar selaras dengan misi SKM untuk membangunkan koperasi dan masyarakat secara inklusif serta menyokong kesejahteraan rakyat.
Rizoh Bosorong, Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, turut hadir sebagai tanda sokongan kuat kementerian terhadap program ini.
Hadir sama pada majlis ini ialah Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis.
Kedua-dua pemimpin menyambut baik usaha murni seperti ini yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk Kadamaian.
Mereka berharap langkah SKM menyumbang peralatan penting ini dapat mengeratkan hubungan antara pihak kerajaan, koperasi, dan masyarakat tempatan.
"Ia bukan sahaja menyokong pembangunan fizikal, malah membantu memupuk semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan komuniti. Program seperti ini diharapkan dapat menjadi model untuk lebih banyak usaha kolaborasi pada masa depan," kata mereka.
Comments