Skuad Ihsan Madani Hal Ehwal Agama Salur Bantuan Banjir Di Sabah
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

22 Januari 2026
TENOM: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melalui inisiatif Skuad Ihsan MADANI Sabah menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM45,450 bagi membantu pelajar dan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir di daerah ini.
Daripada jumlah itu, RM17,700 sumbangan persekolahan disalurkan kepada 177 pelajar terkesan banjir dengan setiap pelajar menerima bantuan RM100 seorang.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga serta memastikan kelangsungan pendidikan pelajar pasca banjir diberi perhatian.

YAPEIM turut menyalurkan sumbangan peralatan dan infrastruktur kepada sekolah yang terkesan banjir yang keseluruhan sebanyak RM15,000.
Ia melibatkan tiga sekolah di daerah ini di mana masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi membantu kerja-kerja baikpulih infrastruktur sekolah yang terjejas.
YAPEIM turut menampung kos penganjuran majlis di lokasi serahan yang keseluruhan berjumlah RM12,750.

Selain sumbangan daripada YAPEIM, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan turut menyalurkan sumbangan dengan menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 204 penerima manfaat
Selain itu, badan itu turut menyerahkan bantuan untuk sembilan surau dan masjid dengan nilai keseluruhan RM45,000 yang menjadikan keseluruhan sumbangan pada program ini mencecah RM110,850 untuk YAPEIM dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada penerima manfaat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tsi Sin, di sini hari ini.

Beliau menyifatkan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan YAPEIM dalam menyantuni golongan terkesan dan berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas.
Hadir sama, Pengarah yang juga Ketua Divisyen Sosioekonomi YAPEIM Muhamad Khairul Anuar Ibrahim dan Selabi Mohammad selaku wakil pengurusan YAPEIM negeri Sabah.
Sejak tahun 1985 hingga November 2025 YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta membabitkan lebih 10.1juta penerima manfaat di seluruh negara.

Ia membabitkan pelbagai teras program iaitu Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik.
Selain itu, YAPEIM turut mengendalikan operasi pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YAPEIM, yang kini mempunyai 201 cawangan di seluruh negara.
Perkhidmatan itu menyediakan peluang pembiayaan jangka pendek kepada peniaga dan usahawan kecil bagi menangani keperluan modal kerja.

Secara keseluruhan Ar Rahnu YAPEIM telah menyantuni kira-kira sejuta penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM18.6 bilion yang melibatkan transaksi berjumlah 14.2 juta item dengan nilai marhun mencecah RM28.6 bilion sejak tahun 2000 sehingga November 2025.


















Comments