SME Bank tawar pembiayaan perusahaan sosial RM20 juta
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SME Bank tawar pembiayaan perusahaan sosial RM20 juta

Ewon melawat pameran jualan produk-produk usahawan SME Bank pada majlis itu

20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, SME Bank menyediakan RM20 juta untuk Skim Pembiayaan perusahaan sosial atau “social enterprise” (SE).


Beliau berkata, kejayaan SME Bank satu daripada agensi kementeriannya untuk melancarkan inisiatif SE pastinya menjadi batu loncatan untuk mencapai hasrat Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030).


“Melalui SEMy2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai jumlah perusahaan sosial berdaftar sebanyak 5,000 perusahaan menjelang 2025 dan 20 peratus daripada jumlah pendaftaran ini telah diakreditasikan.


“Ketika ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai rekod SE berdaftar sebanyak 511 buah syarikat

di mana 59 daripadanya adalah di bawah kategori SE Diakreditasi dan yang selebihnya di bawah kategori SE Asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan Pelancaran Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kerajaan ingin memastikan keusahawanan sosial bukan sekadar trend perniagaan yang diadaptasi atas faktor semasa tetapi melahirkan usahawan yang berdaya saing.


“Sudah tiba masanya kita menormalisasi dan mengarus perdana SE melalui sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan ingin melahirkan lebih ramai perusahaan SE yang diakreditasi agar mereka mampu berkembang menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.


“Perusahaan SE yang disahkan status akan memperoleh lebih banyak akses dan manfaat seperti peluang pembiayaan, geran dan program latihan,” katanya.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian(Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) Amirul Imran Ahmat.


bottom of page