top of page

SMJ 2.0: Sabah sasar lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi

  • nabalunews
  • 59 minutes ago
  • 3 min read

30 Januari 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0) bagi tempoh 2026–2030, dengan sasaran lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 adalah kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang menumpukan pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula selepas pasca pandemik dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.


“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

"Ia dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Jumaat.


Menurut Hajiji, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Balas (RMK13) dan aspirasi Malaysia MADANI.


Jelasnya, pelan itu juga disusun selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance-ESG) bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial.


“SMJ 2.0 juga mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN 17, berpaksikan empat tonggak utama iaitu: Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, dan Sabah United.


“Lima objektif pelan ini adalah membina masyarakat bersatu dan aman; mengoptimumkan hasil negeri; mempelbagaikan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan,” katanya.


Ketua Menteri menegaskan, pelan itu digerakkan melalui tiga teras utama termasuk Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memberi fokus kepada Perindustrian, Pelancongan dan Pertanian.


Selain itu, Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan digital, selain Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, melibatkan infrastruktur asas, tenaga lestari dan alam sekitar.


“Ketiga-tiga teras ini disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, Pendigitalan AI, dan Pembangunan Inklusif, serta dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti, dan kerajaan digital,” ujarnya.


Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) di Sipitang, yang dijangka mewujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli di Sabah.


“Kerajaan juga akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), SOGIP dan Taman Perindustrian POIC Lahad Datu.


“Selain itu, Pelan Induk Perindustrian Kudat untuk Ekonomi Biru turut dirangka, manakala dua taman baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis dirancang bagi memperluas peluang pembangunan wilayah,” jelasnya lagi.


Menurut beliau, Inisiatif SME-UP mensasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) untuk memperluas pasaran produk tempatan.


Sementara itu, katanya, sektor pelancongan menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.


“Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan menumpukan pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, acara antarabangsa dan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.


“Pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar turut diberi perhatian melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13,” jelasnya.


Hajiji berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0, merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK13.


Ujarnya, sasaran tahap sara diri (SSL) beras ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta, serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.


"Sub sektor ternakan menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pelabuhan dan pembangunan rantaian hiliran,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page