top of page

SMK Tandek Jalin Kerjasama Dengan Polis Tangani Isu Pergaduhan Pelajar

  • nabalunews
  • 16 hours ago
  • 2 min read

16 Februari 2026


KOTA MARUDU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek telah menganjurkan Program Perjumpaan Khas bagi menangani isu disiplin pelajar bertempat di Dewan SMK Tandek pada 13 Februari lalu.


Program yang diadakan susulan satu kes pergaduhan pelajar di sekolah tersebut telah menghimpunkan wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bersama pihak pengurusan sekolah dalam satu sesi perbincangan meja bulat. Hadir mewakili pihak polis ialah Inspektor Romioh Wong (IO) dan Sarjan Stephen Wan selaku Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).


Sesi perbincangan tertumpu kepada mengenal pasti punca kejadian serta meneliti tindakan yang telah dan akan diambil oleh pihak sekolah. Pihak polis turut menyampaikan nasihat dan peringatan tegas berhubung implikasi undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya kesalahan seumpama itu berulang.

Hasil perbincangan, semua pihak yang terlibat bersetuju untuk mempergiat pemantauan dan memperkukuh kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, dan polis bagi mencegah insiden serupa daripada berulang. Pendekatan holistik ini dilihat penting dalam membentuk sahsiah pelajar serta memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.


Selepas sesi meja bulat, Pegawai Perhubungan Sekolah turut melakukan lawatan sekitar kawasan sekolah. Lawatan tersebut bertujuan meninjau aspek keselamatan persekitaran sekolah serta berbincang dengan pihak pengurusan berkaitan langkah-langkah proaktif membendung isu disiplin murid. Antara perkara yang diberi perhatian termasuk sistem kawalan keselamatan, kawasan rawan salah laku, serta keperluan penambahbaikan infrastruktur keselamatan sedia ada.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, menegaskan komitmen pihak polis dalam memberikan sepenuh tenaga, masa, dan perhatian bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah sentiasa terpelihara. Beliau berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang boleh menggugat keselamatan pelajar dan warga sekolah.

"Kami amat prihatin terhadap isu disiplin dalam kalangan pelajar dan akan terus memberikan sokongan padu kepada pihak sekolah dalam usaha membendung gejala negatif. Kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti amat penting dalam merealisasikan matlamat ini," ujarnya.


Program Perjumpaan Khas ini menunjukkan komitmen semua pihak dalam menangani isu disiplin pelajar secara bersepadu, selaras dengan hasrat untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga unggul dari segi sahsiah dan disiplin diri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page