SOGDC dan SEDCO Mining meterai MoU perkukuh pembangunan industri Sabah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

10 Mac 2026
KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn.Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan pembangunan industri di negeri ini, khususnya di kawasan SOGIP dan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP).
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan di bawah kementeriannya itu dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan berkenaan.
“Saya alu-alukan inisiatif kerjasama strategik seperti ini yang dilaksanakan sesama syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Sabah yang diletakkan di bawah tanggungjawab kementerian.
“Kerjasama bersepadu seperti ini memudahkan penyelarasan pemantauan terutama berkaitan dengan dasar dan perundangan, seterusnya memacu semangat berpasukan yang lebih kukuh sesuai dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SOGDC dan SEDCO Mining Sdn.Bhd, di Hyatt Regency, di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata kerjasama itu merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara dua entiti negeri yang memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berpendirian bahawa pembangunan ekonomi Sabah memerlukan pendekatan bersepadu, di mana agensi pembangunan negeri perlu bergerak secara bersama bagi mengoptimumkan potensi sumber dan peluang pelaburan.

“Apabila agensi pembangunan berada dalam ekosistem yang sama dan mempunyai matlamat pembangunan yang selari, proses perancangan dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan efektif,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan lebih komprehensif di kawasan SOGIP yang merupakan antara hab industri strategik di Sabah.
“Melalui inisiatif seperti penambakan tanah, keluasan kawasan pembangunan industri di SOGIP berpotensi dipertingkatkan bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan industri pada masa hadapan,” katanya.
Ewon berkata, pada masa sama, potensi untuk mendalamkan laluan masuk perkapalan ke SKSIP dijangka meningkatkan keupayaan pelabuhan menerima kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan kedudukan Sabah sebagai hab industri serta perdagangan serantau.
Menurutnya lagi, peningkatan kapasiti infrastruktur industri, pelabuhan dan logistik dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SEDCO Mining serta semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan kerjasama strategik berkenaan.
“Matlamat akhirnya adalah memastikan ekonomi Sabah terus berkembang secara progresif, pelaburan meningkat dan rakyat Sabah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri serta peningkatan kesejahteraan ekonomi,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin, Pengerusi SOGDC Datuk Ir.Shahelmey Yahyah, Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Mohd Azmir Datuk Ramli, Pengerusi SEDCO Mining Alan Chua, Pengerusi Sawit Kinabalu Hazem Mubarak Tun Musa dan CEO SEDCO Mining Shamsul Bahri Johari.















Comments