Sokong penuh usaha Perkasa Program Pantas
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh usaha memperkasa Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) menerusi penyediaan peruntukan khas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pewujudan Dana Khas Pembangunan Tanah Sabah.
Ketuanya, Emmanuel Atin, berkata isu tanah merupakan perkara penting yang menyentuh hak, kehidupan serta masa depan rakyat Sabah, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, masih ramai rakyat Sabah yang telah mengusahakan tanah secara turun-temurun namun sehingga kini masih menunggu pengiktirafan dan hak milik tanah yang sah.
“Tanah bukan sekadar harta, tetapi merupakan hak, kehidupan dan masa depan generasi Sabah.
“Justeru, isu berkaitan pengukuran dan pemilikan tanah perlu diberikan perhatian serius,”katanya ketika membahaskan Usul 5 pada Persidangan Perwakilan Tritahunan Ke-17 UPKO.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi PANTAS di bawah RMK13 bagi mempercepatkan proses pengukuran tanah, terutama melibatkan tanah adat dan kawasan yang telah lama diusahakan oleh rakyat.
Selain itu katanya, kerajaan juga digesa mewujudkan Dana Khas Pembangunan Tanah Sabah bagi memastikan proses pengukuran, pemetaan, pendokumentasian dan penyelesaian urusan tanah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berterusan.
“Usaha tersebut juga perlu disusuli dengan penyelesaian tunggakan berkaitan tanah adat serta permohonan Native Title (NT) yang masih belum diselesaikanz
“Dalam masa sama, keperluan pendigitalan dan pemodenan sistem pengukuran tanah juga ditekankan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengurangkan kelewatan serta memudahkan proses semakan dan pemantauan status permohonan.
“Kerajaan juga perlu menetapkan sasaran penyelesaian yang jelas bagi tempoh 2026 hingga 2030 supaya rakyat dapat melihat kemajuan yang nyata dan terukur dalam isu pemilikan tanah,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian isu tanah tidak seharusnya terus ditangguhkan kerana kelewatan tersebut akhirnya akan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Jangan wariskan masalah tanah kepada generasi akan datang. PANTAS perlu diperkasa, hak rakyat dipertahankan dan tanah Sabah mesti menjadi asas kepada masa depan Sabah,” katanya.
Usul berkenaan turut mencerminkan komitmen UPKO untuk terus memperjuangkan agenda Sabah First, termasuk memastikan kepentingan rakyat Sabah dan hak-hak yang termaktub di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan tanah yang lebih cekap, telus dan sistematik bukan sahaja penting bagi memberikan kepastian hak kepada rakyat, malah menjadi asas kepada perancangan pembangunan negeri yang lebih teratur dan inklusif.















Comments