Solusi berlainan diperlukan untuk atasi masalah 4 kategori ‘pendatang’ di Sabah – UPKO
27 Nov 2021
Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit
PENAMPANG: Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang berbeza mengikut empat jenis kategori pendatang di Sabah bagi menangani isu yang sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun itu.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata empat kategori pendatang di Sabah adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), pelarian perang, individu tanpa kewarganegaraan (stateless) dan pemegang kad pengenalan palsu.
Jelasnya, dokumen Pas Sementera Sabah (PSS) yang dicadang untuk diberi kepada warga asing yang sudah menetap lama di Sabah hanya menangani isu pelarian perang yang memegang dokumen IMM13, Sijil Banci atau Kad Burung-Burung sahaja.
“Bagi UPKO antara perkara yg sangat penting dalam urus tadbir pendatang tanpa izin di sabah ialah bagi semua pihak, terutama sekali kerajaan, untuk menerima hakikat bahawasanya terdapat empat kategori pendatang asing di Sabah.
“Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah, (penyelesaian) hendaklah ditetapkan mengikut kategori tersebut,” katanya kepada media semasa Persidangan Luar Biasa UPKO 2021, di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.
Menurut Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, UPKO telah berulang kali menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk membatalkan MyKad haram yang kebanyakannya diperoleh melalui rasuah dan memperkenalkan kad identiti yang baharu.
Tambahnya, bekas presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok telah berjuang keras untuk menyingkirkan pemegang MyKad haram daripada senarai pengundi semasa beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri.
תגובות