top of page

SOP amaran cuaca perlu dikaji semula, tingkatkan komunikasi kepada awam

  • nabalunews
  • Sep 26, 2024
  • 2 min read

26 September 2024

 

PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) digesa untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat, serta amaran cuaca.

 

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, langkah ini diambil bagi memastikan maklumat cuaca dapat dikeluarkan dengan lebih kerap, terutamanya apabila keadaan cuaca dijangka menjadi ekstrem.

 

Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad, menegaskan bahawa METMalaysia juga diminta untuk memperbaiki aspek komunikasi dalam menyebarkan maklumat cuaca kepada orang ramai.

 

"Kementerian mengambil maklum laporan media yang menyatakan METMalaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan terdahulu yang masih dianggap efektif," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, komunikasi yang lebih berkesan akan membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai keadaan cuaca semasa dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

 

Dalam kenyataan yang sama, Nik Nazmi memaklumkan bahawa Fasa Peralihan Monsun telah bermula minggu ini dan dijangka berterusan sehingga awal November, menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula pada 17 Mei lepas.

 

“Semasa Fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak,” jelasnya.

 

Beliau turut memberi amaran bahawa keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, dan kerosakan pada struktur bangunan yang tidak kukuh.

 

Nik Nazmi menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada sepanjang tempoh ini dan mengambil perhatian terhadap ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia. Maklumat terkini boleh diakses melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, dan media sosial rasmi jabatan tersebut.

 

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline METMalaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

 

 

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page