Ilona Andrew
SOP PPN akan dikurangkan daripada 181 kepada 10 - Hishammuddin

14 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dikurangkan daripada 181 SOP yang sedia ada ketika ini kepada 10.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha itu dilaksana agar rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan lebih senang memahami SOP-SOP itu.
"Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP.
"Langkah memperkemas SOP-SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun Kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Hishammuddin, bagi menentukan bagaimana SOP-SOP sedia ada ini dapat diperkemaskan, Kerajaan akan mengambil kira data-data sains khususnya daripada KKM dan maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.
Tambahnya, perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke semasa, tambahnya.
Manakala, beliau berkata beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berada pada tahap risiko rendah akan turut dilaksanakan.
"Sejajar dengan matlamat Kerajaan di bawah tonggak kesejahteraan rakyat iaitu untuk memastikan kesihatan mental individu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri akan mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi dalam masa terdekat.
"Selain kelonggaran-kelonggaran yang bakal diumumkan, Kerajaan turut sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa lag bentuk kelonggaran tambahan.
"la termasuklah: Aktiviti pelancongan selain daripada destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan; menambah destinasi di bawah inisiatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau; dan pembukaan gimnasium."
Namun, katanya sebelum kelonggaran-kelonggaran berkenaan diumumkan, Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan COVID-19.
"Sekiranya ia memenuhi syarat serta kriteria ditetapkan, Kerajaan bersedia membenarkan pelaksanaannya.
"Perincian mengenainya akan dibincang dalam Mesyuarat Kuartet Menteri yang akan datang."